IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menaik taraf serta membaik pulih kawasan di sekitar trek Padang Ipoh di sini, yang dikatakan tidak mesra pengguna dan kurang selamat pada waktu malam.

Selain itu, terdapat aduan daripada orang ramai yang mendakwa, padang yang popular sebagai lokasi riadah itu menjadi tempat segelintir pihak meneguk arak dan mabuk pada malam hari.

Perkara itu mendapat perhatian Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin yang menegaskan, pihaknya akan melaksanakan kerja baik pulih jika perlu dan bekerjasama dengan polis bagi tujuan penguatkuasaan.

"Perkara itu (trek joging yang uzur) saya sudah minta Pengarah Landskap untuk lihat mana-mana kawasan lapang yang perlu dinaik taraf demi keselesaan orang ramai yang menggunakannya.

"Berkenaan isu orang mabuk pada waktu malam di Padang Ipoh pula, kita akan kerjasama dengan polis untuk pantau dan buat pengawasan bagi membanteras kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Saya fikir mungkin kena 're-zone' semula kawasan (tempat minum, jual arak) di situ, mungkin rezone ke Pekan Baru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung isu Padang Ipoh yang dikatakan tidak terjaga serta trek joging yang kurang pencahayaan pada waktu malam.

Rumaizi ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei, di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan skuter elektrik di atas padang berkenaan.

"Itu tidak boleh. Saya sudah maklumkan kepada penguat kuasa MBI supaya ambil tindakan kepada sesiapa yang guna skuter elektrik atas Padang Ipoh.

"Kita tidak mahu permukaan padang itu rosak. Saya ingatkan kepada orang ramai untuk patuhi arahan tersebut," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, situasi yang berlaku di bandar raya Ipoh ketika ini ada kaitan dengan pertambahan bilangan orang ramai ke sini.

"Saya anggap ini perkara baru. Dulunya tidak begitu ramai orang di Ipoh. Saya ambil contoh terbaharu di Kinta. Pada 2016, penduduk sekitar 778,000 orang. Sekarang sudah 910,000.

"Itu belum campur pelancong lagi. Apabila orang datang ramai, ia bawa kemajuan ekonomi tetapi dalam masa sama ada kesan lain iaitu sampah, vandalisme dan sebagainya," katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan, ada pihak mengadu keadaan Padang Ipoh yang ikonik dengan penduduk setempat itu semakin suram, ditambah dengan kehadiran individu mabuk yang tidur di kawasan tersebut sehingga mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai.