Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sebagai amat tidak wajar dan telah menafikan hak kedaulatan negara Palestin.

Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha berkata pengumuman Presiden AS Donald Trump pada Rabu, juga telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

"Jakim sama sekali tidak menyokong cadangan untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel memandangkan bumi Palestin adalah hak milik umat Islam, dulu kini dan selamanya.

"Tindakan pelbagai pihak menganjurkan perhimpunan solidariti secara aman adalah amat signifikan sebagai memberi sokongan terhadap rakyat Palestin dan menunjukkan protes terhadap cadangan Baitulmuqaddis untuk dijadikan sebagai ibu negara Israel," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari ini menganjurkan solat hajat khusus yang dipimpin imam masjid Hamdan Muhammad selepas solat Jumaat, bagi mendoakan supaya Baitulmuqaddis dan seluruh bumi Palestin terus kekal sebagai hak milik mutlak umat Islam.



Sementara itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam kenyataan menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan menimbulkan ketegangan dalam mencari perdamaian konflik Al-Aqsa, Palestin.

Presiden MBM Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata langkah yang diambil presiden AS itu menunjukkan sikap sebenar AS sebagai dalang di sebalik konflik yang sekian lama berlarutan.

Beliau berkata pengisytiharan itu jelas bertentangan dengan resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, serta segala usaha pihak antarabangsa dalam mencari perdamaian dan penyelesaian konflik itu.

"MBM menggesa pihak berautoriti seperti PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kesatuan Eropah (EU) agar mengenakan tindakan diplomatik dalam mendesak AS menarik balik pengisytiharan ini kerana Baitulmuqaddis bukanlah barang dagangan oleh mana-mana pihak demi kepentingan mereka," katanya.

Sehubungan itu, katanya MBM mewakili seluruh badan gabungan belia di Malaysia, menolak pengisytiharan presiden AS itu serta akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan yang berkaitan dalam menggerakkan Kempen 'Selamatkan Al-Quds'.



Di KANGAR, Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata pendirian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menentang tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis, adalah sangat terpuji.

Kenyataan yang dibuat perdana menteri pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 itu, wajar dipuji kerana tindakan AS itu sekali gus mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Beliau berkata, tindakan mengisytiharkan Jerusalem atau Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel itu benar-benar mencabar dunia Islam.

Beliau berkata masyarakat Islam di seluruh dunia, khususnya negara Arab juga tidak boleh membisu dalam berhadapan dengan isu tersebut, malah parti-parti politik orang Islam di Malaysia juga diharap bersuara menentang keputusan Trump itu.

"Semoga Umat Islam seluruh dunia bersatu dalam (menentang) isu-isu sedemikian (isu Baitumuqaddis)," katanya menerusi catatan pada laman Facebook miliknya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Perlis (JAIPs) akan menganjurkan program 'Raja Memimpin Umat: Isu Palestin'.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor dalam kenyataan hari ini berkata sebagai tanda solidariti, bermula 15 Dis ini setiap masjid di Perlis akan mengibarkan bendera Palestin.

"Selain itu, khutbah dan majlis ilmu berkaitan isu Palestin juga akan dilaksanakan di seluruh negeri," katanya.

Di KOTA KINABALU, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) Zulzaim Hilmee Abidin mengetuai lebih 300 umat Islam berkumpul di hadapan Masjid Negeri di sini hari ini sebagai solidariti menyokong rakyat Palestin memprotes cadangan Trump itu.

Beliau yang ditemui Bernama pada perhimpunan itu berkata umat Islam di seluruh dunia akan bersama menolak sekeras-kerasnya usaha menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

"Walaupun kita berada jauh daripada Palestin, namun kita akan terus bersama-sama mereka (rakyat Palestin) untuk membantah tindakan Trump yang jelas mahu menimbulkan kemarahan umat Islam.

"Kita berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan perkara ini melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kerana tindakan Trump itu dilihat boleh menjurus kepada konflik dan ketegangan di Timur Tengah," katanya.

Di BUTTERWORTH, lebih 200 umat Islam daripada 18 badan bukan kerajaan (NGO) dan dua parti politik iaitu UMNO dan PAS berhimpun selepas solat Jumaat di Masjid Seberang Jaya, dekat sini, bagi menyatakan bantahan terhadap pendirian AS.

Wakil parti politik dan NGO itu, Bukhori Ghazali berkata menjadikan Baitulmuqaddis ibu negara Israel mengancam sensitiviti umat Islam di seluruh dunia apatah lagi ia kota terbesar bagi rakyat Palestin yang berjuang bermati-matian selama 50 tahun daripada dirampas rejim Yahudi.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan mengusir keluar Duta Amerika di Malaysia bagi menunjukkan rakyat Malaysia serius menentang perbuatan presiden Amerika Syarikat itu.

"Kami juga menyeru semua masjid mengadakan solat hajat di samping menganjurkan khutbah berkaitan memboikot pembelian barang-barang Amerika Syarikat dan Israel," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan tersebut.

-- BERNAMA