Prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi rakyat dalam menangani kenaikan kos sara hidup, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan memperhebat usaha ke arah meringankan beban mereka.

Perdana Menteri berkata usaha itu termasuk memberi bantuan tunai, memastikan harga makan berpatutan, membina rumah mampu milik, menambah baik dan mengembangkan perkhidmatan pengangkutan awam serta memudahkan lagi rakyat mendapatkan khidmat kesihatan awam.

"Kerajaan juga memberi tumpuan kepada usaha memastikan rakyat menikmati pendapatan lebih tinggi berpadanan dengan peningkatan produktiviti. Ini dapat dicapai melalui pendidikan dan latihan lebih baik serta peningkatan kemahiran berterusan," katanya.

Najib berkata demikian dalam prakata Laporan Ekonomi 2014-2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini seiring dengan pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata dalam persekitaran luar yang mencabar, ekonomi negara mencatat pertumbuhan lebih kukuh di luar jangkaan 6.3 peratus dalam tempoh enam bulan pertama 2014 (Januari-Jun 2013: 4.4 peratus), yang tertinggi dalam Asean.

Perdana Menteri berkata prestasi cemerlang itu disokong oleh eksport kasar yang kembali positif sebanyak 12.5 peratus dan permintaan domestik berdaya tahan sebanyak 6.5 peratus.

Sektor swasta, katanya, terus menerajui aktiviti pelaburan dengan mencatat pertumbuhan 15 peratus mencecah RM97.5 bilion dalam separuh pertama 2014.

"Prestasi ini mencerminkan keyakinan perniagaan yang kukuh disokong persekitaran mesra perniagaan dan propertumbuhan berikutan program transformasi nasional," tegasnya.

Najib seterusnya menarik perhatian terhadap kemajuan memberangsangkan dalam usaha menambah baik daya saing negara.

Malaysia, katanya, meningkat ke tangga 12 pada 2014 berbanding ke-15 pada 2013 menurut IMD World Competitiveness Yearbook 2014.

Mengikut laporan World Bank Doing Business 2014 pula, Malaysia melonjak kepada kedudukan keenam berbanding ke-12 pada 2013 selain menduduki tempat ke-20 berbanding ke-24 pada 2013 dalam kalangan 144 negara yang ditinjau World Economic Forum dalam laporan Global Competitiveness Report 2014-2015.

Di sebalik pencapaian itu, Najib berkata kerajaan peka bahawa negara kini beroperasi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.

"Kita perlu sentiasa bertindak pantas dan melakukan penyesuaian terhadap sebarang perubahan dalam persekitaran ekonomi global dan domestik.

"Kita mesti mengambil langkah berani dengan penglibatan dalam aktiviti didorong oleh ekonomi bernilai tambah tinggi dan berteraskan teknologi supaya Malaysia kekal berdaya saing," katanya dalam laporan ekonomi itu.

Satu cara untuk merealisasikan matlamat itu ialah dengan membentuk budaya keusahawanan, inovasi dan kreatif yang mantap dalam kalangan rakyat.

Dalam konteks ini, Najib berkata penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) merupakan usaha untuk menarik bakat global dan tempatan yang terbaik serta memberi inspirasi kepada usahawan baharu.

Beliau menekankan bahawa sungguhpun ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan prestasi lebih baik dalam pelbagai ranking global, usaha akan dilipat ganda untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang inklusif, dengan hasil pembangunan dikecapi setiap lapisan masyarakat.

"Oleh yang demikian, kerajaan tidak hanya terus menumpu kepada aktiviti merancakkan ekonomi bahkan memperhebat usaha pengagihan semula pendapatan bagi mencapai pertumbuhan yang inklusif agar dapat menyemarakkan lagi semangat kekitaan dalam kalangan rakyat," katanya.

Di samping itu, Najib berkata tumpuan akan terus diberi ke atas agenda transformasi fiskal bagi memastikan pengurusan kewangan awam kekal kukuh.

Strategi untuk mencapai objektif termasuk memastikan perbelanjaan kerajaan yang cekap dan berkesan, memperluas asas cukai termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan serta menambah baik mekanisme subsidi bersasar.

Najib seterusnya berkata Bajet 2015 adalah penting kerana ia bajet terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-10, sekali gus mengingatkan semua bahawa sasaran menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 kini tinggal enam tahun sahaja.

"Untuk itu, kita perlu berganding bahu memperhebat usaha dengan semangat 1Malaysia untuk menjana kemakmuran negara yang dapat dikecapi secara saksama oleh segenap lapisan rakyat," tambah beliau.