KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) mencadangkan pelepasan cukai bagi premium insurans perubatan dan kesihatan dinaikkan di bawah Bajet 2022, kata Presidennya Loh Guat Lan.

Beliau berkata ia boleh dinaikkan dengan salah satu pilihan, iaitu membenarkan pelepasan cukai semasa sebanyak RM8,000 bagi perbelanjaan perubatan untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak bagi penyakit serius diperluaskan dengan memasukkan premium insurans perubatan; atau menaikkan gabungan pelepasan cukai semasa sebanyak RM3,000 (bagi premium insurans perubatan dan kesihatan dan premium bagi insurans pendidikan) kepada RM6,000.

"Rasional di sebalik cadangan ini pertamanya, ia akan mengurangkan bebanan potensi perbelanjaan besar daripada pembayar cukai disebabkan pengumpulan risiko.

"Keduanya, kos perbelanjaan perubatan kebiasaannya meningkat seiring dengan peningkatan usia dan pembayar cukai menggunakan pendapatan semasa mereka untuk membiayai keperluan perubatan jangka panjang mereka pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loh berkata kos insurans perubatan bagi purata keluarga dua orang dewasa dan tiga kanak-kanak adalah kira-kira RM2,500 setahun, yang paling rendah.

Oleh itu, hanya RM500 simpanan bagi premium setahun bagi keluarga ini untuk menyokong polisi pendidikan tiga anak tersebut, yang mana ia tidak mencukupi.

"Memandangkan kepentingan untuk mempunyai insurans kesihatan bagi rakyat Malaysia, pelepasan cukai bagi jenis pelan insurans ini perlu dinaikkan," katanya.

Selain itu, katanya, persatuan itu turut meminta kerajaan menaikkan had pelepasan cukai peribadi semasa daripada RM3,000 kepada RM5,000; pengecualian 6.0 peratus cukai perkhidmatan ke atas Skim Insurans Kakitangan Kumpulan; dan melanjutkan Program Baucar RM50 Perlindungan Tenang (PTV) bagi kumpulan B40 kepada setahun lagi iaitu daripada 2022-2023.

"LIAM ingin mencadangkan cukai perkhidmatan 6.0 peratus ke atas Skim Insurans Kakitangan Kumpulan dihapuskan. Ini akan menggalakkan majikan menginsuranskan kakitangan mereka di bawah skim tersebut dan seterusnya meningkatkan kadar pengambilan insurans pekerja.

"Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, kurang daripada separuh pekerja dilindungi oleh sebarang bentuk insurans kumpulan. Ini meninggalkan jurang insurans yang besar yang perlu dirapatkan, bagi memperluas jaringan keselamatan insurans kepada seramai mungkin rakyat Malaysia,"katanya.

Mengenai cadangan lanjutan Program PTV itu, beliau berkata penerima memerlukan masa untuk belajar dan menerima perlindungan insurans atau takaful sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga.

"Bagi memupuk kebiasaan untuk mendapatkan perlindungan insurans atau takaful sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial mereka, premium kedua perlu disubsidikan, terutamanya memandangkan pemulihan daripada COVID-19 masih belum dapat dipastikan.

"Jika tidak, ramai penerima BPR kemungkinan besar akan menghentikan perlindungan mereka dan manfaat jangka panjang daripada program itu akan hilang," katanya.

Beliau berkata dengan adanya produk Perlindungan Tenang penting dalam memberikan bantuan sementara sekiranya berlaku musibah, dapat mengakses sumber kewangan dan memperoleh ketenangan apabila mengetahui bahawa bantuan kewangan tersedia dengan mudah dan tepat pada waktunya.

"Industri berharap dengan melanjutkan insentif itu untuk tempoh setahun lagi, ia akan memberi manfaat kepada majoriti isi rumah B40 di negara ini.

"Oleh itu, sebagai sebahagian daripada aspirasi industri insurans dan takaful, Program PTV diharapkan dapat memenuhi agenda keterangkuman kewangan negara bagi mencapai kadar penembusan insurans yang lebih tinggi dan ketahanan isi rumah dalam kalangan penduduk," tambahnya.

Sebagai kesimpulan, katanya, LIAM berharap senarai harapan Bajet 2022 persatuan itu dapat dilaksanakan dan akan membantu kerajaan dalam mencapai objektif 3R (pemulihan, ketahanan, pembaharuan) - bagi melindungi dan memacu pemulihan hidup dan kehidupan rakyat; membina semula daya tahan ekonomi; dan memangkinkan pembaharuan sosio-ekonomi ke arah mewujudkan ekonomi yang lebih mampan, produktif, dan bernilai tambah tinggi.

-- BERNAMA