BATU PAHAT: Bajet 2023 yang memperuntukkan sebanyak RM15.1 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah komitmen berterusan kerajaan menyokong institusi pengajian tinggi (IPT) memacu masa depan pelajar.

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, peruntukan berkenaan meningkat sebanyak 4.25 peratus berbanding RM14.5 bilion pada tahun lalu.

Kata Noraini, RM11.7 bilion daripada peruntukan tersebut akan digunakan bagi perbelanjaan mengurus dan RM3.4 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

“Alhamdulillah, demi memastikan anak-anak Keluarga Malaysia dapat meneruskan pengajian hingga ke menara gading dengan baik, KPT telah diperuntukkan dana lebih besar dalam Bajet 2023.

“KPT mendapat peruntukan sebanyak RM15.1 bilion, peningkatan sebanyak 4.25 peratus berbanding RM14.5 bilion yang kita perolehi sebelum ini. Ia meliputi RM11.7 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM3.4 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

“Melalui jumlah ini, beberapa pengumuman telah dibuat yang memfokuskan kepada bantuan tunai, penyelesaian pinjaman pendidikan, pembangunan seperti naik taraf jaringan digital dan fasiliti di IPT di seluruh negara termasuklah peruntukan bagi meningkatkan pembudayaan Inisiatif Kampus Hijau di Universiti Awam serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Penyampaian Surat Tawaran Dermasiswa SULUNG di Kampung Parit Kangkar Ayer Hitam, di sini, hari ini.



Dalam pada itu, beliau menambah, kerajaan turut peka terhadap pembangunan Pendidikan Teknikal dan Latihan (TVET) dengan memperuntukan sebanyak RM6.7 bilion dan dilihat mampu mencapai sasaran sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam bidang TVET menjelang 2025.

“Turut diberi perhatian ialah peruntukan-peruntukan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi Dana Inovasi Digital (DIGID) bernilai RM30 juta dan pelaksanaan Program Usahawan Siswazah (PUSh) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi memberi manfaat kepada 1,000 graduan yang menceburi bidang keusahawanan.

“Melalui penyaluran peruntukan-peruntukan yang disebutkan tadi jelas membuktikan bahawa sektor pendidikan khususnya pengajian tinggi kekal sebagai pelaburan terbaik bagi membina masa depan yang cerah untuk anak-anak pelajar,” jelasnya lagi.