Skip to main content

Malaysia

'Nyanyi 10 minit je, kerja berpuluh jam' - PM Anwar jawab isu klip tular dendang lagu Kishore Kumar

KERALAM, 14 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima cenderahati daripada Gabenor Keralam Rajendra Vishwanath Arlekar ketika mengadakan pertemuan dua hala di Calicut hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima cenderahati daripada Gabenor Keralam Rajendra Vishwanath Arlekar ketika mengadakan pertemuan dua hala di Calicut hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KOZHIKODE: "Nyanyi itu 10 minit, ini kerja ini dah berpuluh-puluh jam."

Demikian jawapan bersahaja lagi santai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menepis sindiran segelintir pihak susulan rakaman video beliau menyanyikan lagu Hindi klasik yang tular sepanjang siri lawatan kerjanya ke India.

Sambil tersenyum ketika diajukan perkara berkenaan pada sidang media penutup di Keralam petang ini, Anwar menjelaskan sisi santai diplomasi itu sama sekali tidak menjejaskan jadual kerja rasmi yang padat sejak menjejakkan kaki ke New Delhi.

"Ada pertemuan-pertemuan untuk televisyen, banyak kerja yang saya cerita pada penyanyi.

"Jadi ada orang tulis, saya kata, 'Saya (datang) kerja nyanyi je.' Nyanyi itu 10 minit. Ini kerja ini dah berpuluh-puluh jam," kata beliau pada sidang media penutup sempena lawatan kerjanya ke India, pada Isnin.

Klip berdurasi pendek yang merakamkan Anwar mendendangkan bait lagu legenda Kishore Kumar bertajuk "Khwaab Ho Tum Ya Koi Haqeeqat" daripada filem Teen Devian (1965) menarik perhatian ramai serta tular meluas di pelbagai platform media sosial.

Untuk rekod, jadual Perdana Menteri di India dipenuhi siri rundingan berprofil tinggi, bermula dengan persidangan BRICS di New Delhi, pertemuan dua hala bersama Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Iran Dr. Masoud Pezeshkian, sehinggalah perjumpaan bersama pimpinan negeri serta pelabur korporat di Keralam.

Perdana Menteri memuktamadkan lawatan kerja selama empat hari ke India (11 hingga 14 September 2026) yang merangkumi dua destinasi utama iaitu New Delhi dan Keralam.

Sepanjang lawatan itu, beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan.

Selesai di Keralam, Perdana Menteri meneruskan siri lawatan rasmi merentasi Lautan Hindi ke Malé, Maldives selama dua hari bermula petang ini.

Must Watch Video

Advertisement