KUALA LUMPUR: Seramai 14,306 bakal haji yang menerima surat tawaran tetapi belum menjawab tawaran tersebut dimohon berbuat demikian pada hari ini sehingga esok, 9 Mei.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi Tabung Haji, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, urusan tersebut boleh dilakukan secara dalam talian atau hadir ke cawangan-cawangan TH di seluruh negara.

"Bakal-bakal haji boleh melayari THiJARI.com.my, dia boleh semak di sana sama ada mendapat tawaran atau tidak, dan boleh menerima tawaran haji secara dalam talian sahaja.

"Selain itu, bagi mereka yang menghadapi masalah untuk (melayari) THiJARI dan sebagainya boleh datang ke cawangan.

"Pun begitu ramai yang telah menjawabnya, tetapi bakal-bakal haji yang belum menjawab, saya nak ambil peluang untuk menyarankan kepada semua sila semak THiJARI.com.my untuk tengok dapat tawaran atau tidak. Kalau ada boleh sahaja menerima tawaran sehingga hari esok, yang merupakan hari terakhir," katanya kepada Astro AWANI di ibu pejabat TH, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamed Ameen berkata sebaik proses dokumentasi selesai, Tabung Haji akan memberikan pemakluman kepada bakal jemaah haji bagi menghadiri Kursus Perdana Haji yang dijadual antara 15 dan 29 Mei ini.

Selain itu, bakal jemaah haji musim 2022 akan turut menerima jadual penerbangan masing-masing.

"Yang ini kami akan hubungi melalui THiJARI, dan kedua menguar-uarkan melalui media sosial dan pemberita untuk makluman kepada bakal-bakal haji bahawa jadual penerbangan telah siap dan berkaitan Kursus Perdana Haji," ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Mohamed Ameen memaklumkan selain perkhidmatan dokumentasi jemaah haji di 123 cawangan di seluruh negara hari ini, TH turut menyedia perkhidmatan pertukaran status akaun kanak-kanak kepada dewasa, sehingga 14 Mei ini.

Sebelum ini, berikutan faktor kesuntukan masa, semua bakal haji tahun ini perlu menjawab sama ada setuju atau tidak menerima tawaran haji dalam masa tujuh hari bekerja dari tarikh surat berkenaan.

Bagi melancarkan urusan bakal jemaah, semua 123 cawangan TH di seluruh negara beroperasi hari ini untuk membolehkan mereka menjalankan urusan dokumentasi berkaitan perjalanan.

Bakal haji yang terpilih boleh menghantar surat terima tawaran haji dan buku rekod rawatan setelah pemeriksaan kesihatan dibuat serta pasport antarabangsa ke mana-mana pejabat cawangan TH yang berhampiran.