Ringkasan AI
- Jabatan Kerja Raya dan kontraktor baharu perlu memastikan baki kerja projek FOB Pulau Mabul disiapkan mengikut jadual pada 4 Mei 2028.
- Projek bernilai RM40.8 juta ini bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan di pantai dan perairan timur Sabah serta melibatkan pembinaan pelbagai fasiliti.
- Projek mengalami kelewatan selepas kontraktor awal menarik diri, namun kini berada pada tahap baik di bawah pemantauan pihak berkuasa berkaitan.
SEMPORNA: Jabatan Kerja Raya serta kontraktor baharu yang dilantik bagi projek pembinaan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul di sini perlu memastikan baki kerja projek berkenaan disiapkan mengikut jadual pada 4 Mei 2028.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata FOB Pulau Mabul bertujuan meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan melalui pendekatan pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan pantai dan perairan timur Sabah.
“Objektif lawatan hari ini adalah meninjau projek berkaitan dengan keselamatan negara di sempadan. Perkara ini dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak turut diminta untuk memantau projek-projek sakit.
“Projek ini mengalami kelewatan untuk disiapkan tetapi kontraktor ‘penyelamat’ telah dilantik. Berdasarkan taklimat yang diterima perkembangan projek ketika ini pada tahap baik. Projek ini penting dan dapat meningkatkan tahap kawalan keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Sepanggar berkata demikian selepas lawatan kerja rasmi bagi meninjau kesiapsiagaan kawalan sempadan di Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan Pulau Mabul di sini hari ini.
Penyiapan baki kerja projek FOB Pulau Mabul itu dikendalikan oleh Bina Conso Sdn Bhd bermula 7 Nov 2025 dengan kos RM40.8 juta.
Projek pembinaan FOB Pulau Mabul dicadangkan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sejak 2016 dan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) dengan siling peruntukan sebanyak RM52.81 juta. Projek itu sepatutnya disiapkan pada 2024, namun kontraktor awal menarik diri.
Projek FOB Pulau Mabul itu antaranya melibatkan pembinaan jeti, blok kediaman asrama, surau, blok pentadbiran, dewan makan, selain stor peluru.
Pada lawatan itu, Mustapha yang diiringi Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos turut menyampaikan sumbangan bakul makanan daripada Jabatan Perdana Menteri kepada 128 anggota keselamatan, termasuk kakitangan Taman-Taman Sabah yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan serta keindahan pulau di Semporna.
-- BERNAMA