KUALA LUMPUR: Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada Selasa depan, umat Islam khususnya yang mencari rezeki dan menetap di ibu negara semakin beransur-ansur meninggalkan Kuala Lumpur untuk kembali ke kampung halaman.

Ketika kota metropolitan itu semakin lengang, suasana yang berbeza pula dilihat berlaku di lebuh raya-lebuh raya utama yang menghubungkan ibu negara dengan negeri-negeri di utara, selatan dan pantai timur.

Seperti yang dijangkakan, aliran trafik di lebuh raya mencapai puncak kesesakan berikutan cuti hujung minggu dan hari kelepasan am bermula hari ini.

Tinjauan Astro AWANI melalui udara dengang menaiki pesawat EC135 Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat pertambahan kenderaan keluar dari ibu kota.

Aidilfitri | Laluan ke Pantai Timur mula sesak

Tumpuan tentu sekali diarahkan  ke Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak selepas Plaza Tol Gombak arah utara yang sesak menyebabkan kenderaan bergerak perlahan.

Dianggarkan berlaku kesesakan lebih 21 kilometer sehingga Bukit Tinggi.

Kesesakan trafik juga berlanjutan dari Bukit Tinggi sehingga ke Lentang.

Sementara itu, tinjauan krew Astro AWANI di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan pula mendapati aliran trafik yang perlahan hanya berlaku di beberapa kawasan sahaja.

Antaranya dari arah Senawang ke Pedas Linggi sehingga ke Alor Gajah.

Bagaimanapun aliran trafik kembali lancar selepas Ayer Keroh menuju Tangkak.

Daripada tinjauan yang sama juga, terdapat satu kemalangan berlaku melibatkan dua buah kenderaan di KM 228 berhampiran Senawang.

Tinjauan Astro AWANI di bahagian utara Semenanjung pula mendapati trafik sesak sepanjang 60 kilometer bermula dari Slim River menuju Sungkai, Gopeng, Ipoh (Utara) ke Kuala Kangsar dan Kuala Kangsar ke Changkat Jering.

Bahkan, semakin menuju ke utara tanah air, beberapa kawasan sepanjang lebuh raya di negeri Perak, Kedah dan Pulau Pinang menyaksikan pertambahan kenderaan.

Manakala di Plaza Tol Jalan Duta dan Sungai Besi pula, aliran trafik juga didapati lancar di kedua-dua arah.

Sementara itu, Pegawai Pemantau Udara Op Selamat Zon Selatan, Asisten Superintendan Juliana Jamak berkata, pemantuan secara berkala yang dibuat oleh PGU setiap hari melibatkan empat pasukan di Zon Utara, Selatan dan Zon Tengah terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Untuk pemantauan udara, kita ada empat pasukan iaitu di Zon Utara, Selatan dan Zon Tengah dimana kita akan terbang pada waktu pagi, petang dan malam.

"Setiap pasukan diketuai satu pegawai dan dua anggota untuk merakamkan gambar kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengguna jalan raya," katanya kepada Astro AWANI.

Bagi pengguna lebuh raya yang masih lagi belum meninggalkan ibu kota, Juliana menasihati mereka agar merancang perjalanan mengikut jadual seperti dikeluarkan pihak konsesi lebuh raya sebelum ini.

Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan meninggalkan Kuala Lumpur dan Lembah Klang untuk pulang menyambut lebaran di kampung masing-masing bermula semalam (Jumaat).