Banci Ekonomi 2026 perkasakan data PMKS dan sektor informal Sabak Bernam

Program promosi Banci Ekonomi 2026 di Sabak Bernam melibatkan sesi libat urus bersama penjaja, peniaga kecil dan pengusaha tempatan bagi meningkatkan kesedaran kepentingan pengumpulan data ekonomi. - Foto DOSM
SUNGAI BESAR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memulakan promosi awal Banci Ekonomi 2026 di Sabak Bernam sebagai langkah strategik memastikan penglibatan menyeluruh pertubuhan perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor ekonomi informal.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pendekatan turun padang itu penting bagi mendekatkan DOSM dengan komuniti penjaja dan usahawan kecil, selain meningkatkan kefahaman mengenai peranan data dalam menyokong perancangan ekonomi negara.
Program promosi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Daerah Sabak Bernam, melibatkan sesi libat urus bersama ahli majlis, penjaja serta pengusaha perniagaan tempatan di kawasan Laman Rasa, di sini.


Uzir Mahidin ketika berucap pada program promosi Banci Ekonomi 2026 di Sabak Bernam yang bertujuan memperkukuh data PMKS dan sektor ekonomi informal. - Foto DOSM
Menurut Mohd Uzir, Sabak Bernam dipilih sebagai lokasi permulaan di Selangor memandangkan struktur ekonominya yang banyak disokong oleh PMKS dan aktiviti ekonomi informal, selain memiliki kekuatan ekonomi tahunan yang dianggarkan mencecah sekitar RM3 bilion.
“Untuk hari ini, kita melakukan promosi di Sabak Bernam dan di sini terdapat kira-kira 3,000 hingga 5,000 pertubuhan perniagaan, termasuk sektor mikro yang turut kita liputi. Ini menjadi ‘kick-off’ awal bagi mendekatkan penjaja dan peniaga kecil dengan kepentingan Banci Ekonomi,” katanya.
Beliau menjelaskan, pengumpulan data bagi syarikat besar akan dilaksanakan pada fasa seterusnya selepas penutupan akaun, manakala perniagaan kecil dan penjaja diberi keutamaan lebih awal memandangkan ketiadaan rekod kewangan formal dalam kalangan segmen tersebut.
Dalam konteks itu, Mohd Uzir berkata Banci Ekonomi 2026 akan menumpukan kepada pemboleh ubah utama seperti hasil perniagaan, peluang pekerjaan serta sumber bekalan, bagi memahami cabaran sebenar yang dihadapi sektor informal.

Barisan kepimpinan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersama wakil Majlis Daerah Sabak Bernam dan komuniti setempat sempena program promosi Banci Ekonomi 2026 di Sabak Bernam, Selangor. - Foto DOSM
“Data ini penting untuk melihat secara menyeluruh isu berkaitan penjaja dan peniaga kecil, supaya kerajaan dapat merangka dasar yang lebih inklusif, memperkukuh penglibatan semua pihak serta meningkatkan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa data terkini daripada banci tersebut akan menjadi input penting kepada perancangan pembangunan daerah, termasuk menyokong usaha kerajaan negeri memperkasakan Sabak Bernam sebagai destinasi agro pelancongan.
Sehubungan itu, DOSM menyeru semua pertubuhan perniagaan, termasuk sektor informal, memberikan kerjasama penuh bagi memastikan data yang dikumpulkan tepat, boleh dipercayai dan mampu menyokong pembangunan ekonomi negara yang lebih inklusif dan mampan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


