MELAKA: Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir yang menjadi lokasi sambutan Hari Malaysia 2022 pada Jumaat ini dilihat sudah berubah wajah, apabila ia kini sedang jenuh dipasang dengan pelbagai kelengkapan serta hiasan sebagai persiapan awal bagi memeriahkan sambutan hari bersejarah negara.

Persiapan sambutan bagi menghayati pembentukan Malaysia itu menyaksikan pemasangan pentas utama, tempat duduk penonton, skrin-skrin besar dan sistem audio di beberapa lokasi strategik di sepanjang Jalan Parameswara menuju ke dataran itu, siap untuk digunakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata beliau telah mengadakan lawatan di lokasi bersama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam petang tadi untuk memastikan segala elemen persiapan dan perancangan berjalan lancar serta teratur.

"Alhamdulillah semua berjalan dengan baik dan Melaka berbesar hati menjadi tuan rumah buat julung kalinya, sambutan Hari Malaysia yang diadakan di Semenanjung selain di Sabah dan Sarawak dengan bertemakan era 50-an dan 60-an.

"Kita juga amat mengalu-alukan kedatangan semua rakyat negeri ini dan pengunjung dari luar Melaka ke sambutan ini mengikut tema ditetapkan dan mereka juga boleh memakai baju mengikut etnik masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata pihaknya juga telah meminta agensi dan jabatan berkaitan untuk membanyakkan lagi pemasangan Jalur Gemilang di jalan raya sepanjang Ayer Keroh hingga ke Banda Hilir untuk menyemarakkan sambutan itu.

Katanya pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan meningkatkan keceriaan kawasan sekitar sambutan selain memastikan lampu dan pencahayaan mencukupi di lokasi strategik.

"Justeru, nasihat saya kepada orang ramai yang berhasrat datang meraikan supaya datang awal ke lokasi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Sambutan Hari Malaysia kali ini turut menampilkan keunikan dengan tema busana era 50-an dan 60-an dipilih bagi meraikan sambutan itu.

Kira-kira 20,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka dijangka hadir memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2022 yang pertama kali diadakan di negeri bersejarah itu.

-- BERNAMA