Skip to main content

Malaysia

Bandingkan maraton dengan RXZ untuk tutup lebuh raya tidak tepat - Syed Mohammed Idid

61660645307_RXZMembers.jpg
Syed Mohammed Idid berkata, pihak yang serius mahukan lebuh raya ditutup perlu mengemukakan kajian keselamatan, impak trafik, insurans, pelan kecemasan, kos operasi dan pampasan serta siapa yang akan membayarnya. - Gambar hiasan
Advertisement

SHAH ALAM: Hujah yang membandingkan penganjuran maraton dengan perhimpunan RXZ dalam isu penutupan lebuh raya dilihat terlalu mudah kerana tidak mengambil kira aspek keselamatan, pengurusan trafik dan kepentingan awam.

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libaturus Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata, ini kerana lebuh raya bukan sekadar jalan yang boleh 'ditempah' tetapi infrastruktur strategik negara di bawah perjanjian konsesi.

Menurut beliau, penutupan berkenaan memerlukan kelulusan serta penyelarasan Lembaga Lebuh Raya (LLM), Kementerian Kerja Raya (KKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkaitan bagi pelan pengurusan trafik, lencongan, keselamatan, kecemasan serta penguatkuasaan.

"Hujah 'maraton boleh tutup lebuh raya, kenapa RXZ tak boleh?' sebenarnya terlalu simplistik jika dilihat dari perspektif syarikat konsesi, pengawal selia dan kerajaan. Setiap penutupan mempunyai kos kehilangan hasil tol, operasi tambahan, manpower (tenaga kerja), trafik, keselamatan dan kemungkinan implikasi pampasan kontraktual tertakluk kepada perjanjian konsesi. Akhirnya, siapa membayar?

"Cukai jalan pula bukan 'booking fee' untuk mendapat penggunaan eksklusif lebuh raya. Membandingkan RXZ dengan maraton juga tidak tepat. Maraton mewujudkan persekitaran terkawal tanpa trafik bermotor.

"RXZ melibatkan puluhan ribu motosikal yang bergerak dari pelbagai negeri, berkumpul dan kemudian bersurai semula. Profil risikonya sama sekali berbeza. Jadi, 'maraton boleh, kenapa RXZ tak boleh?' bukanlah hujah yang kukuh," katanya menerusi ruangan komen di Facebook Sinar Harian bagi mengulas kenyataan Pengarah Program RXZ Members, Mohd Lukhman Hassan.

Mohd Lukhman sebelum itu menyelar pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan penganjur untuk memohon LLM menutup seketika Lebuhraya Pantai Timur (LPT) untuk memberi laluan kepada konvoi peserta dengan membandingkan perkara tersebut dengan acara maraton.

Beliau sebelum itu dilapor berkata, perkara tersebut merupakan antara cadangan penambahbaikan yang dikemukakan pihaknya ketika sesi libat urus bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Khamis.

Mengulas lanjut, Syed Mohammed Idid berkata, pihak yang serius mahukan lebuh raya ditutup perlu mengemukakan kajian keselamatan, impak trafik, insurans, pelan kecemasan, kos operasi dan pampasan serta siapa yang akan membayarnya.

Seterusnya beliau menambah, tindakan selanjutnya harus diserahkan kepada agensi atau kementerian terlibat seperti LLM, KKR, PDRM dan syarikat konsesi menilai secara profesional.

"Ya, RXZ mungkin menjana ekonomi kepada hotel, restoran dan peniaga. Tetapi analisis sebenar mesti mengira manfaat ekonomi bersih selepas mengambil kira kos kemalangan, kesihatan, penguatkuasaan, kesesakan, infrastruktur dan kehilangan produktiviti.

"Ini bukan anti-RXZ atau anti-motosikal. Tetapi hak untuk berhibur tidak bermakna hak untuk memindahkan risiko, kos dan gangguan kepada masyarakat," katanya.

Ujarnya lagi, setiap lebuh raya diurus berdasarkan keselamatan, undang-undang, kos, tanggungjawab kontraktual dan kepentingan awam, bukan siapa paling kuat bersuara.

Katanya, garis panduan tersebut bukan bermaksud diskriminasi terhadap mana-mana pihak tetapi ia merupakan tadbir urus yang bertanggungjawab. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement