KUALA LUMPUR: Polis menggempur sebuah unit banglo di Taman Yari, Jalan Klang Lama di sini yang dijadikan pusat hiburan dan pelacuran selain menahan 16 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dalam satu serbuan semalam.

Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Judi/Maksiat/Gengsterisme Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman SAC Mohamad Noor Yusof Ali berkata serbuan pada 8.45 malam itu turut menahan enam lelaki tempatan bertindak sebagai 'transporter' atau pengangkut dan juga juruwang di premis itu.

"Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi noda itu berumur lingkungan 21 hingga 31 tahun dengan sindiket didapati menawarkan khidmat penghantaran GRO untuk berhibur serta menyediakan kediaman mewah untuk menawarkan perkhidmatan seks," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati aktiviti mempromosikan kegiatan pelacuran itu turut dibuat secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Telegram.

Mohamad Noor berkata premis banglo yang diserbu itu dilengkapi dengan peralatan-peralatan hiburan seperti lampu disko, meja pool dan lain-lain kelengkapan juga terletak di dalam kawasan taman perumahan mewah serta disewa dengan harga RM3,600 sehari.

"GRO yang bertindak menjadi peneman pelanggan minum dan berhibur serta menawarkan perkhidmaan seks dengan bayaran RM1,300 hingga RM2,500 kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA