KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 daerah di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah masih terjejas akibat banjir dengan 17,253 mangsa berlindung di 196 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), dalam masa sama, sejumlah 803 PPS sudah ditutup dengan 120,743 mangsa daripada 34,053 ketua isi rumah (KIR) telah pulang ke rumah masing-masing.

Kata agensi itu, jumlah kumulatif mangsa yang terkesan akibat bencana itu di seluruh negara pula adalah  136,016 orang daripada 38,656 KIR.

Nadma berkata, Selangor yang sudah memasuki fasa pasca bencana sudah membuka dua PPS baharu iaitu di daerah Kuala Langat iaitu PPS Dewan Kelanang dan PPS Dewan MPKK, Banting, semalam.

"PPS ini menempatkan 40 keluarga yang terkesan banjir akibat fenomena air pasang. Dilaporkan terdapat kejadian banjir kilat di daerah Sepang tetapi tidak ada PPS yang dibuka," kata Nadma dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

[LAPOR LANGSUNG] Tiga air pasang besar diramal berlaku sehingga Februari

Menurut kenyataan itu lagi, setakat pukul 10 pagi Selasa, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG)
melaporkan 245 kejadian tanah runtuh di seluruh negara iaitu pertambahan dua lokasi iaitu masing-masing satu di Negeri Sembilan  dan Selangor.

Sementara itu, Nadma berkata, sepanjang Monsun Timur Laut (MTL 2021/2022) terdapat 61 kejadian cerun dan jalan runtuh dikesan yang sedang diambil tindakan baik pulih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Kenyataan itu memberitahu, semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah perlu memaklumkan kepada PKOB Pusat jika terdapat kejadian runtuhan yang memberi kesan kepada penempatan dan memerlukan pemindahan agar penyelarasan dan tindakan lanjut dapat dibuat segera.

"Setakat pukul 10 pagi Selasa, kira-kira 97 sebanyak infrastruktur komunikasi yang terjejas telah dipulihkan manakala baki infrastruktur masih dalam proses baik pulih," katanya.

Dalam pada itu, setakat Isnin, bahagian udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melaksanakan operasi penghantaran 40 meter kabel elektrik bagi kegunaan pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan pembaikan di Gunung Telapak Buruk, Negeri Sembilan.

Operasi penghantaran diesel masih lagi dalam tindakan JBPM berikutan faktor cuaca yang tidak menentu.