KUALA TERENGGANU: Seramai 3,200 sukarelawan belia di Terengganu bersiap siaga untuk digerakkan ke seluruh daerah di negeri ini bagi membantu mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kira-kira 300 hingga 400 sukarelawan akan berkhidmat di setiap daerah dan membantu mangsa ketika banjir melanda dan selepas bencana termasuk membantu membersihkan kediaman penduduk yang tercemar akibat banjir.

"Setakat ini, semua peralatan termasuk alat komunikasi telah disediakan untuk kegunaan bersama-sama agensi pasukan penyelamat dalam membantu mangsa di kawasan berisiko dilanda banjir serta di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Kebiasaannya, tidak semua daerah akan dilanda banjir serentak, jadi sukarelawan boleh dikerah ke kawasan yang dilanda banjir teruk pada satu-satu masa agar bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Namun, beliau menegaskan semua sukarelawan akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika memberi bantuan untuk mengelak penularan COVID-19 sepanjang musim tengkujuh.

Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula awal November ini akan berlarutan sehingga Mac 2022 dengan empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dan boleh menyebabkan kejadian banjir sepanjang tempoh berkenaan.

-- BERNAMA