KUALA LUMPUR: Sebanyak 455 orang masih berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terjejas banjir setakat 6 pagi tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kesemua mangsa yang direkodkan itu termasuk 274 orang daripada 83 keluarga yang berlindung di empat PPS di Sabah iaitu daerah Beluran (113 orang di tiga PPS) dan Sandakan (161 orang di sebuah PPS).

Jumlah mangsa di Pahang kekal 103 mangsa daripada 34 keluarga di sebuah PPS di Rompin, manakala Johor merekodkan penurunan jumlah mangsa kepada 78 orang daripada 20 keluarga di tiga PPS iaitu di Segamat (63 orang di dua PPS) dan Batu Pahat (15 orang di sebuah PPS).

Berhubung insiden kebakaran di Sarawak, jumlah mangsa yang masih berlindung di sebuah PPS di Kuching kekal 38 orang daripada 12 keluarga.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa lokaliti sungai di Johor dan Pahang berada pada paras bahaya pagi ini.

Di Johor, sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang, Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat, manakala di Pahang pula membabitkan Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin.

NADMA turut memaklumkan terdapat 43 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Bukit Besi - Dungun, Terengganu, Jalan Kota Tinggi - Kluang di Kota Tinggi, Johor dan di Pahang membabitkan Lebuhraya Kuantan - Segamat (Lebuhraya Tun Razak).

-- BERNAMA