Banjir: 58 mangsa dari 29 keluarga di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat dipindahkan ke PPS

Keadaan banjir sekitar Kampung Sungai Serai. - Astro AWANI
HULU LANGAT: Hujan lebat yang berterusan sejak malam semalam telah menyebabkan banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor, hingga memaksa penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai.
Setakat jam 4 petang ini, sebanyak 58 mangsa daripada 29 keluarga telah ditempatkan di PPS berkenaan.
Menurut penduduk Kampung Sungai Serai, air mula naik sekitar 12.30 tengah hari dan terus meningkat sehingga jam 2 petang, mencapai paras peha, menyebabkan beberapa laluan kampung terpaksa ditutup.
Operasi pemindahan mangsa dijalankan secara intensif oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Cheras, Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta penduduk setempat.
Bot penyelamat digunakan untuk membantu mangsa keluar dari rumah yang dinaiki air, manakala beberapa keluarga turut dibantu menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan lori Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
Banjir kali ini turut menjejaskan rumah penduduk dan beberapa premis perniagaan di kawasan rendah, sekali gus menekankan keperluan agar masyarakat sentiasa bersiap sedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk agar mengelak melalui laluan yang dinaiki air dan sentiasa memantau perkembangan banjir untuk keselamatan diri dan keluarga.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


