KUALA LUMPUR :84 buah perkampungan orang asli di empat negeri melibatkan 5,327 keluarga dilaporkan terjejas sama ada terputus hubungan dengan pihak terlibat dan rumah mengalami kerosakan akibat dinaiki air.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Saiful Zahlan Muhamad Azmi, sumbangan sudah disalurkan kepada mereka yang terjejas dengan kerjasama beberapa agensi lain yang terlibat.

"Sehingga pagi ini, JAKOA sudah menyalurkan bantuan kepada 84 buah perkampungan Orang Asli di seluruh negara yang terjejas seperti terputus hubungan dan rumah dinaiki air.

"Bantuan yang diberikan termasuk makanan dan keperluan asas harian seperti berasa, minyak masak dan gula.

"JAKOA sentiasa menyelaras segala gerak kerja dengan pusat kawalan operasi bencana daerah seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajian Masyarkat, Bomba dan beberapa agensi lain.

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi ini kerana dapat menyediakan keperluan logisitk seperti pacuan empat roda, lori dan bot bagi tujuan penghantaran bantuan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.


Banjir | Bantuan banjir kawasan perkampungan Orang Asli

Malah jelas Saiful, pihaknya akan memantau tahap kerosakan terhadap kediaman Orang Asli  yang rosak dan terus menghulurkan bantuan kepada mana-mana perkampungan yang terputus hubungan.

Setakat ini, mangsa yang terjejas teruk melibatkan Orang Asli ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan keperluan asas amat diperlukan merangkumi makanan asas, lampin pakai buang dan pakaian.

Anda boleh menghubungi JAKOA negeri bagi selaraskan bantuan tersebut.