KUALA LUMPUR:Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau situasi bencana banjir di sekitar negeri Pahang melalui udara menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat EC725, hari ini.

Menerusi perkongsian di Facebook Istana Negara, baginda bersama berangkat dari Pangkalan Udara TUDM, Kuantan pada pukul kurang 9 pagi Khamis.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut dijadualkan mendarat di Kuala Lipis untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

Jelas kenyataan itu lagi, Al-Sultan Abdullah kemudian dijadual mendarat di Mentakab dan Temerloh untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab dan PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh.

"Seramai 95 mangsa banjir daripada 36 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Clifford, manakala seramai 192 daripada 57 keluarga ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

"Selepas lawatan ke Kuala Lipis, Seri Paduka Baginda dijadualkan mendarat di Mentakab dan Temerloh untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab dan PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh.

"Seramai 136 mangsa banjir daripada 28 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab, manakala seramai 114 daripada 30 keluarga ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh," demikian menurut kenyataan itu, hari ini.

Seri Padukan Baginda meninjau situasi bencana banjir melalui udara menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat EC725, hari ini. - Gambar Facebook Istana Negara

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selain menyantungi mangsa banjir, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung.

BACA: Banjir: Terus hulurkan bantuan, norma baharu jadi keutamaan - YDP Agong

Jelas kenyataan itu, keberangkatan Al-Sultan Abdullah mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi baginda terhadap mangsa banjir dan golongan yang memerlukan bantuan.

"Sehubungan itu, baginda mengajak seluruh rakyat mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda," ujar kenyataan itu.

Tinjauan udara keadaan di sekitar Pahang yang dilanda banjir - Gambar Facebook Istana Negara

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memandu sendiri meredah banjir di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) untuk melawat mangsa banjir di sekitar bandar Maran, Pahang.

Baginda berdua turut mengadakan lawatan mengejut ke Maran bagi mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS sekitar Maran.