SEGAMAT: Seramai 60 pegawai dan 1,123 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah digerakkan ke negeri terjejas banjir setakat ini, menerusi Ops Murni ATM.

Jumlah berkenaan merangkumi 12 pegawai dan 184 anggota lain-lain pangkat digerakkan bersama 31 aset ke tujuh daerah yang terjejas banjir di Johor

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pasukan yang diletakkan dalam keadaan bersiap siaga sebelum ini sudah mula diatur gerak ke daerah Tangkak, Segamat, Kota Tinggi, Kluang dan Mersing.

Menurut beliau, perancangan Ops Murni ATM juga akan dikemas kini dari semasa ke semasa, mengikut situasi
banjir.

"Keutamaan ATM dalam kesiapan kita tentang memikir bagaimana hendak memindahkan mangsa banjir sekiranya ianya berlaku dan itu merupakan keutamaan kita… untuk menyelamatkan dan selepas itu kita memikirkan kawasan perpindahan.

“Kerjasama kita dengan agensi dan kementerian yang boleh membantu mengedarkan keperluan,” kata beliau dalam sidang media Ops Murni Johor di Kem Segamat, Batu Anam di sini, pada Isnin.

[LAPOR LANGSUNG] Paras sungai tahap bahaya, penduduk di lima negeri diminta waspada

Operasi itu juga, kata Hishammuddin, turut diperkasa dengan penglibatan 190 aset seperti bot, enjin bot, trak tujuh tan, trak tiga tan dan ambulan medan.

Dalam sidang media sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad turut memaklumkan, kerajaan negeri akan memberi bantuan kewangan RM500 kepada penduduk di negeri Johor yang terjejas akibat bencana banjir.

“(Apa) yang penting di negeri ialah untuk kita memastikan supaya arahan yang diturunkan antara jabatan agensi dapat dipermudahkan dan bantuan dapat sampai tepat pada mangsa.

“Tumpuan yang saya berikan pada Johor ialah kita memudah cara segala bentuk bantuan yang diberikan pelbagai agensi,” kata Hasni sambil memberitahu, perkara itu akan di bawa dan diusulkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor.