GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan bimbang kemungkinan berlaku peningkatan kes penyakit berjangkit berkaitan banjir selain COVID-19, susulan bencana banjir di beberapa negeri ketika ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata bencana banjir ini boleh menyebabkan penyakit-penyakit bawaan air seperti leptospirosis (jangkitan air kencing tikus), kolera, cirit-birit, demam, infeksi saluran pernafasan, denggi dan penyakit disebabkan pencemaran makanan.

"Setakat ini kita masih belum menerima laporan mengenai kes denggi, kencing tikus serta penyakit-penyakit bawaan air lain dan pencemaran makanan. Keadaan pada masa ini terkawal," katanya kepada wartawan selepas merasmikan Hospital Kebajikan Kek Lok Si di sini hari ini.

BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI

Beliau berkata KKM juga mewujudkan kumpulan yang melakukan ujian parameter pH air dan memeriksa kebersihan kualiti makanan bagi mengelak berlakunya pencemaran makanan yang membahayakan kesihatan.

Noor Azmi turur berkata mana-mana pihak yang mahu menyumbang makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) digalakkan menghubungi KMM bagi memeriksa kualiti makanan dan mendapat kebenaran terlebih dahulu.

"Mereka boleh berhubung dengan KKM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya, ini kerana kita bimbang berlakunya penyakit berjangkit," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM juga bimbang kemungkinan berlakunya kluster-kluster baharu COVID-19 di kawasan-kawasan yang dilanda bencana

Menurut laporan media, sebanyak 86 kes COVID-19 dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir menjadikan jumlah keseluruhannya 267 kes setakat 12 tengah hari, Selasa.

Beliau berkata terdapat sejumlah mangsa banjir di Selangor dikesan positif COVID-19 tahap satu dan dua sebelum mereka tiba ke PPS dan telah diasingkan untuk menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pusat kuarantin di PPS dan ada yang menjalaninya di rumah.

-- BERNAMA