KUALA LANGAT: Ban berdekatan rumah pam Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang, di sini, dilaporkan pecah, pagi ini.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 10.10 pagi, mengakibatkan air Sungai Langat mula memasuki kawasan tali air berdekatan kampung tersebut.

Menurut penduduk, Janaidi Janot, 40 tahun, kejadian disedari penduduk selepas membuat tinjauan di kawasan berkenaan.

“Keadaan ini akan menyebabkan air memenuhi kawasan ladang kelapa sawit terlebih dahulu dan kemudian kawasan penempatan.

“Keadaan ini berkemungkinan besar menyebabkan terjadi gelombang kedua di Kampung RTB ini. Saya mewakili penduduk kampung memohon kepada JPS untuk melihat perkara ini (keadaan ban).

“Banjir berlaku sebelum ini disebabkan struktur ban yang rendah. Jadi, perkara yang sama ini berulang kali berlaku,” katanya kepada Astro AWANI, di sini, hari ini.

BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI

Ban berdekatan rumah pam Kampung RTB Bukit Changgang dilaporkan pecah pagi ini. - Foto Astro AWANI

Katanya lagi, JPS sebelum ini banyak memfokuskan kepada masalah sistem pemparitan berbanding keadaan ban yang didakwa kerap pecah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia KLIA, Timbalan Penguasa Bomba II, Khairuddin Jamaludin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut sekitar 10.11 pagi.

Menurutnya, pihaknya telah memaklumkan kepada ketua kampung untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

Selain itu, tambahnya, arahan kepada JPS untuk mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian semakin buruk, telah dikeluarkan.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku di Selangor sehingga Rabu ini, termasuk di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Risiko Banjir | Perkembangan di Bukit Changgang