Skip to main content

Malaysia

Banjir di Kota Marudu diisytihar tamat, 24 PPS masih beroperasi di Sabah

APM Kota Marudu
Pengisytiharan bencana banjir tamat dibuat berdasarkan maklumat agensi tindak balas yang menjalankan tinjauan di lokasi terjejas. - Foto FB APM Kota Marudu

KOTA KINABALU: Bencana banjir di daerah Kota Marudu diisytiharkan tamat pada 11 pagi ini susulan keadaan cuaca bertambah baik dan paras air yang telah pulih sepenuhnya.

Pegawai Daerah Kota Marudu Meirin Sugara, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah berkenaan, dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengisytiharan itu dibuat berdasarkan maklumat agensi tindak balas yang menjalankan tinjauan di lokasi terjejas.

Advertisement

Sehubungan itu, beliau berkata semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Marudu ditutup dan kediaman penduduk yang terjejas bencana adalah selamat untuk didiami.

Meirin turut meminta agensi tindak balas di lapangan menilai keperluan pelaksanaan aktiviti pascabencana secara bersepadu bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di daerah Pitas meningkat kepada 2,171 orang daripada 1,078 keluarga setakat 12 tengah hari ini berbanding 2,120 orang daripada 1,054 keluarga pada 8 pagi tadi.

Situasi di Tawau tidak berubah dengan 245 orang daripada 55 keluarga masih berada di PPS manakala di Paitan, jumlah mangsa menurun kepada 850 orang daripada 268 keluarga berbanding 847 orang daripada 270 keluarga pada sebelah pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan sebanyak 24 PPS masih beroperasi di ketiga-tiga daerah yang terjejas.

-- BERNAMA

Must Watch Video