KOTA TINGGI: Banjir yang melanda daerah Kota Tinggi di Johor disifatkan yang terburuk dalam tempoh dua tahun.

Bagi mangsa yang terlibat, bencana yang melanda seawal 3 pagi kelmarin itu, menyebabkan mereka tidak bersedia dan terpaksa menyelamatkan diri, sehelai sepinggang.

Menurut penduduk di sekitar Taman Mawai dan Taman Aman, di sini, mereka tidak pernah mengalami banjir seburuk itu sejak tahun 2020 lalu.

Jelas mangsa yang terlibat, ketinggian air banjir mencecah ke paras tingkap rumah, menyebabkan mereka terpaksa memanjat bumbung untuk menyelamatkan diri.

"Memang tak sempat nak kemas barang. Air bergerak laju memang kita tak sempat nak kemas.

"Kita terpaksa keluar dan tinggalkan semua barang-barang. Ada pihak berkuasa tolong keluarkan anak-anak daripada rumah sebab arus terlalu deras," kata mangsa banjir, Norafisa Hamzah.

Kesemua mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, Kota Tinggi.

Setakat jam 8 pagi, Kota Tinggi merekodkan seramai 2,912 mangsa terdiri daripada 769 keluarga dengan 18 PPS beroperasi.