Banjir di daerah Raub kembali pulih selepas tiga pusat pemindahan yang menempatkan seramai 101 mangsa ditutup secara berperingkat pagi ini.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Pahang Zainal Yusoff berkata kesemua 31 keluarga itu melibatkan penduduk dari enam kampung iaitu Kampung Padang Manggis, Masjid Gali, Gali Hilir, Kuala Temau, Ajai dan Kuala Gali.

"Tiga pusat pemindahan banjir yang ditutup secara berperingkat pagi ini ialah Kompleks Mini Sukan Kampung Kuala Gali yang menempatkan seramai 30 orang daripada sembilan keluarga, Masjid Kuala Temau (21 orang daripada lapan keluarga) diikuti pusat pemindahan Dewan Serbaguna Kampung Pia yang menempatkan 50 orang daripada 14 keluarga yang terakhir ditutup pada 11.50 pagi tadi.

"Mereka telah dibenarkan pulang selepas paras air banjir di kediaman masing-masing telah surut sepenuhnya," katanya yang turut menambah keadaan cuaca di Raub cerah dan paras air sungai juga telah surut.

Sebanyak lima pusat pemindaan banjir telah dibuka di daerah Raub yang menempatkan seramai 122 mangsa daripada enam buah kampung dengan penempatan pertama dibuka seawal 7 pagi semalam.