CHUKAI:Kawasan rumahnya di Kampung Jenang di sini yang berdekatan dengan sungai menyebabkan seorang warga emas terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak tiga kali pada musim tengkujuh kali ini.

Kalsom Mohamad, 80, berkata sebelum ini dia telah berpindah ke PPS Dewan Sivik Air Putih pada hujung November dan pertengahan Disember lepas dan semalam dia turut berpindah buat kali ketiga ke PPS yang sama setelah rumahnya dinaiki air sehingga ke paras dada.

"Penat banjir yang sebelum ini pun tidak hilang lagi, semalam dalam pukul 8 malam terpaksa berpindah lagi kerana air naik dengan cepat setelah hujan lebat berpanjangan sejak dua hari lepas.

"Mujurlah ada anak makcik yang menolong membersihkan rumah. Kalau makcik seorang memang tidak mampu (bersihkan rumah), kini banjir di rumah telah surut tetapi anak makcik suruh makcik tinggal di sini (PPS) sementara dia membersihkan rumah," katanya ketika ditemui Bernama di PPS Dewan Sivik Air Putih, di sini hari ini.

Ibu kepada 11 anak itu berkata oleh kerana keadaannya yang agak uzur, seorang anaknya, Nazlin Salleh, 40, terpaksa mendukungnya dari rumah yang dinaiki air menuju ke persimpangan jalan iaitu kira-kira 50 meter sebelum menaiki kereta ke PPS semalam.

Sementara itu Rosinah Hassan, 50, yang tinggal di Kampung Teladas di sini berkata walaupun air belum surut sepenuhnya pagi ini namun dia tetap mencuci rumah dan barangan lain kerana tidak mahu diselaputi lumpur yang tebal.

"Lumpur kalau dibiarkan lama ia akan 'degil' melekat kuat di dinding dan perkakas rumah jadi kita perlu kerap mencuci walaupun masih banjir," katanya sambil berkata banjir yang berlaku malam semalam menyebabkan rumahnya ditenggelami air sehingga ke paras bumbung namun telah mulai surut pagi ini.

Rosinah yang menjual makanan secara kecil-kecilan di hadapan rumahnya berkata banjir pada kali ini adalah yang terburuk sejak 2014.

"Tahun 2014 memang yang paling teruk banjir kerana rumah habis tenggelam. Tahun-tahun selepas itu pula walaupun banjir namun hanya sekali sahaja air naik, bukan sampai tiga kali seperti tahun ini," katanya.

Sehingga tengah hari ini, banjir di Kemaman menyaksikan 615 mangsa daripada 146 keluarga terpaksa dipindah ke enam PPS ekoran hujan lebat perpanjangan yang berlaku sejak dua hari lepas.

-- BERNAMA