JELI:Dua jalan utama di Jeli ditutup kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki air sehingga paras satu meter, selepas dilanda hujan lebat sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Jeli DSP Ahmad Arifin berkata ia melibatkan laluan di KM13 Jalan Jeli-Dabong berdekatan Kampung Reka, dan KM34 Jalan Jeli-Dabong berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Balah, dekat sini.

"Jalan di KM13 itu dinaiki air kira-kira 1.2 meter di sepanjang satu kilometer, manakala laluan di KM34 dinaiki air sedalam satu meter di sepanjang 0.8 kilometer dan kedua-dua lokasi berkenaan ditutup kepada semua jenis kenderaan dari kedua-dua arah," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Ahmad berkata satu lorong di laluan Jeli-Grik berdekatan Kampung Batu 10, di Batu Melintang, ditutup kepada pengguna berikutan berlaku kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang, malam tadi.

"Kerja-kerja pembersihan jalan dan pokok tumbang sedang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jeli dan jalan dibuka dua lorong daripada tiga lorong kepada pengguna jalan raya," katanya.

Beliau menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan penutupan jalan dan jangan mengambil risiko meredah jalan yang dinaiki air.

"Pandu dengan berhati-hati kerana keadaan hujan dan jalan licin terutama semasa menuruni bukit. Jangan tular gambar-gambar yang tidak berkaitan terutama gambar-gambar lama, selain berpindah apabila diarah," katanya.

-- BERNAMA