JOHOR BAHRU: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya menyelamatkan seramai 61 penduduk daripada 16 keluarga di Lorong Mak Piah, Sungai Tiram di sini, selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Mohd Faiz Ramli berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan banjir kilat melalui talian terus ke balai pada jam 7.31 malam tadi.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku banjir kilat setinggi satu meter di sekitar kawasan kampung tersebut.

"PKO bertindak memindahkan mangsa seramai 61 orang ke Dewan Raya Sungai Tiram untuk penempatan sementara pada malam ini dengan menggunakan satu unit bot Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram dan satu unit bot orang awam.

"Manakala 40 orang mangsa telah berpindah sendiri ke dewan tersebut. Hujan telah berhenti di lokasi," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Kawasan yang dilanda banjir. - Foto JBPM

Menurut Mohd Faiz, seramai 61 mangsa banjir yang diselamatkan pasukan bomba terdiri daripada 23 lelaki dewasa, wanita dewasa (20), lelaki warga emas (tiga) dan seorang wanita warga emas.

"Seramai lapan kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki (empat) dan bayi lelaki (dua).

"Jumlah keseluruhan mangsa di Dewan Raya Sungai Tiram seramai 101 orang dari 31 buah keluarga, pemantauan masih dijalankan di lokasi.

"Kesemua mangsa ditempatkan di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sungai Tiram yang dibuka pada jam 11 malam tadi," katanya.