SEGAMAT: Pekan Chaah dan kawasan sekitar kini bagaikan 'pulau' berikutan jalan perhubungan terputus, sekali gus menjadi cabaran besar bagi agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk menyelamatkan mangsa banjir.

Ada segelintir mangsa banjir termasuk ahli keluarga di luar kawasan tersebut terpaksa beralih kepada media sosial terutama Facebook untuk memohon bantuan pihak berkuasa.

Pemangku Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang mengakui pihaknya mendapat banyak panggilan daripada ahli keluarga menyatakan kebimbangan berikutan saudara-mara mereka masih terperangkap.

"Kebanyakan mangsa meminta bantuan daripada media sosial, dipercayai daripada Chaah, yang kini bagaikan pulau, sehingga menyukarkan kami untuk memasuki kawasan tersebut, akibat jalan dinaiki air.

"Kami kini bekerja keras untuk menjalankan misi menyelamat mangsa banjir termasuk mempertimbangkan tiga jalan alternatif untuk memasuki kawasan tersebut antaranya menggunakan jalan keretapi sedia ada," kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mohd Rizal berkata dua kaedah lain ialah menggunakan jalan darat menerusi Labis dan Muar menerusi Felda Maokil selain jalan udara menggunakan helikopter.

"Helikopter JBPM sedang bersiap sedia untuk terbang dari Subang, tetapi cuaca tidak mengizinkan. Paling lewat kalau cuaca beransur baik kita cuba terbang dalam 6 petang ini," katanya.

Selain itu, JBPM Johor yang mempunyai kekuatan sebanyak 300 orang, turut mendapat bantuan daripada empat negeri iaitu JBPM Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan serta pasukan SMART melibatkan 60 anggota dan pegawai, katanya.

"Sekarang ini kita kenal pasti ada 11 kampung sekitar kawasan Chaah dikelilingi dua sungai melimpah yang kita percaya jadi punca keadaan (pulau) itu.

"Kita harap kalau ada mangsa yang guna media sosial, hantar lokasi di mana mereka berada dan jangan panik serta segera berpindah ke tempat lebih tinggi. Kita sedang berusaha sebaik mungkin," katanya.

Selain Chaah, Mohd Rizal berkata tiada tempat lain terputus hubungan sehingga menyukarkan pihaknya membuat misi penyelamatan.

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial seorang wanita memohon bantuan selepas seluruh ahli keluarganya terpaksa memanjat ke bumbung selepas air menenggelami rumahnya di Chaah.

Bernama turut dihubungi seorang wanita bagi meminta bantuan untuk menyelamatkan ibu bapanya yang juga warga emas dan pesakit hypertension.

Wartawan Bernama, Kamarul Halim M Kamal yang berada di kawasan berkenaan sempat keluar daripada kawasan tersebut kira-kira 2 petang tadi selepas dinasihati oleh polis mengenai status banjir di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA