KOTA TINGGI:Kawasan Pengerang di Kota Tinggi, Johor menjadi lokasi terbaharu dilanda banjir di negeri itu hari ini susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Sehingga pukul 12 tengah hari, jumlah penduduk terjejas akibat bencana itu meningkat kepada 645 orang berbanding 479 orang, pada pukul 8 pagi tadi.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan berkata, ia melibatkan 183 keluarga daripada tiga daerah di Kota Tinggi, Kluang dan Segamat.

Susulan itu lima lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kota Tinggi menjadikan jumlah terkini sebanyak 14 PPS beroperasi berbanding sembilan sebelum ini.

Dijangkakan jumlah penduduk terjejas akan meningkat berikutan pihak jawatankuasa pengurusan bencana daerah masih giat mengemaskini statistik penduduk terlibat.

Tinjauan juga mendapati, cuaca masih lagi hujan lebat terutama di Kota Tinggi yang menyaksikan banyak laluan kini mula dipenuhi air.

Angka kematian akibat banjir di Johor masih kekal tiga orang.

Beberapa kawasan di Kota Tinggi kembali banjir