JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 5,598 orang dengan jumlah tertinggi masih di daerah Segamat.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya, dua pusat pemindahan sementara (PPS) sudah ditutup sejak semalam masing-masing di Johor Bahru dan Tangkak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, sehingga 12 tengah hari Selasa, 53 PPS dibuka di Segamat dan seramai 4,103 mangsa banjir terdiri daripada 1,114 keluarga direkodkan.

Beliau berkata, daerah lain yang masih menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir termasuk Mersing dengan 541 mangsa daripada 142 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS daerah itu.

"Pada pukul 7 malam semalam, satu-satunya PPS di Johor Bahru iaitu di Dewan Raya Sungai Tiram yang sebelum itu menempatkan dua mangsa dari Kampung Paya Nam Heng ditutup.

"Pukul 10 pagi tadi, PPS Sekolah Agama Bukit Banjar, Tangkak pula ditutup selepasa seorang mangsa banjir di PPS itu dibenarkan pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.



Menurut Vidyananthan, daerah lain yang masih mencatatkan jumlah mangsa banjir adalah di Kota Tinggi yang menempatkan 210 mangsa daripada 61 keluarga di buah tiga PPS.

Tambah beliau lagi, seramai 112 daripada 34 keluarga pula masih ditempatkan di sebuah PPS di Kluang sementara 107 mangsa daripada 31 keluarga berada di tiga buah PPS dekat Batu Pahat.

Selain itu, 15 keluarga membabitkan 58 mangsa ditempatkan di tiga PPS di Muar dan sembilan PPS yang masih dibuka di Tangkak menempatkan 467 mangsa daripada 119 keluarga.

Vidyananthan turut berkata, keadaan cuaca di enam daerah negeri ini adalah cerah iaitu di Johor Bahru, Batu Pahat, Pontian, Kluang, Tangkak dan Kulai.

Jelasnya, hujan hanya berlaku di Kota Tinggi, sebaliknya, cuaca mendung di Muar, Segamat dan Mersing.