MELAKA TENGAH: Tiga lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Melaka selepas angka mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 554 orang pagi ini berbanding 321 mangsa, malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sehingga kini, sebanyak tujuh PPS dibuka membabitkan tiga daerah di negeri itu, berbanding hanya empat PPS semalam.

Beliau berkata, tiga lagi PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim di daerah Melaka Tengah serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shuh Yen di Jasin.

Beliau berkata, sehingga pagi Selasa, seramai 128 keluarga membabitkan 554 mangsa terjejas dipindahkan ke PPS dan angka itu dijangka bertambah kerana ada PPS yang masih dalam proses pengiraan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 16 kawasan dilaporkan terjejas dan daerah paling terkesan adalah Melaka Tengah.

Antara kawasan terjejas adalah di Sungai Putat, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bestari, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Taman Rambai Indah, Tanjung Minyak, Kampung Pengkalan Batu dan Rumah Awam Ayer Molek.

Manakala di Alor Gajah membabitkan Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi serta Taman Kasawari di kawasan Durian Tunggal.

Tambah beliau, di Jasin pula tiga kawasan dilaporkan terjejas iaitu di Tanjung Laboh, Lubok Kasau dan Taman Hang Tuah Perdana.