NATIONAL
Banjir: Jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 138,042 setakat 6 pagi hari ini

Seorang penduduk meredah banjir dengan membawa barangan keperluan untuk ke PPS di Kuala Nerus. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencatat sedikit peningkatan kepada 138,042 orang pada jam 6 pagi ini berbanding 136,498 malam tadi.
Menurut Portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 41,605 keluarga ditempatkan di 641 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri.
Kelantan negeri paling teruk terjejas dengan 85,848 mangsa daripada 26,799 keluarga yang ditempatkan di 251 PPS.
Terengganu pula merekodkan 39,340 mangsa daripada 10,907 keluarga.Sebanyak 275 PPS dibuka di daerah Dungun, Besut, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman dan Marang.
Sementara itu, Kedah mencatatkan 8,411 mangsa daripada 2,592 keluarga yang ditempatkan di 49 PPS.
Bagi Pahang pula, sebanyak 26 PPS dibuka untuk menempatkan 1,518 mangsa banjir daripada 502 keluarga yang terjejas di Raub, Jerantut dan Lipis.
Johor mempunyai 786 mangsa banjir daripada 213 keluarga ditempatkan di satu PPS yang dibuka di Segamat.
Manakala Melaka merekodkan 244 mangsa banjir daripada 58 keluarga ditempatkan di empat PPS yang dibuka di Jasin, Mmelaka Tengah dan Alor Gajah.
Negeri terakhir terjejas ialah Perlis dengan 225 mangsa daripada 70 keluarga yang ditempatkan di satu PPS dibuka di Arau.
Setakat Ahad, jumlah korban banjir meningkat kepada enam orang dengan kejadian terbaharu melibatkan dua lelaki warga emas yang lemas ketika memantau haiwan ternakan di Machang, Kelantan.
Seorang lelaki juga dilaporkan lemas selepas terjatuh dalam sungai di Jalan Paya Kubang Lembu, Kampung Tok Kesop, Jitra pada Ahad.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami