Banjir: Keadaan terkawal, pemantauan diteruskan - JBPM Kelantan

Keadaan di kawasan Taman Bendahara, Pengkalan Chepa dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan dilaporkan masih terkawal walaupun jumlah mangsa semakin meningkat dari semasa ke semasa, kata Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Aswafaizole Abdul Wahab.
Ringkasan AI
- Keadaan banjir di Kelantan masih terkawal, tetapi jumlah mangsa terus meningkat dengan 5,394 orang berlindung di 26 pusat pemindahan sementara.
- Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mempergiat pemantauan dan operasi menyelamat, menyelamatkan 78 mangsa dalam tempoh 12 jam.
- Orang ramai dinasihati untuk mendapatkan maklumat cuaca dan paras air dari laman sosial jabatan kerajaan serta mematuhi arahan berpindah untuk keselamatan.
"Sejak Bilik Gerakan Operasi Negeri dibuka pada 8 malam tadi, pasukan bomba telah menyelamatkan 78 mangsa dalam tempoh 12 jam berikutan kenaikan paras air di beberapa daerah.
"Kesemua mangsa diselamatkan selepas paras air di kediaman mereka meningkat dan pasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan akan segera ke lokasi bagi operasi menyelamat," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Operasi Negeri di JBPM Tunjong di sini hari ini.
Aswafaizole menasihati orang ramai supaya mendapatkan maklumat keadaan cuaca dan paras air di kawasan penempatan masing-masing menerusi laman sosial jabatan kerajaan serta mematuhi arahan berpindah.
Beliau berkata Bilik Gerakan Operasi Negeri yang diaktifkan malam tadi kini dikendalikan oleh lebih lima anggota di bawah seliaan seorang pegawai kanan.
"Pasukan ini bertugas memantau perkembangan cuaca, menyelaras pergerakan aset dan pasukan tindak balas serta mengendalikan panggilan kecemasan di seluruh negeri," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


