Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menganggarkan kerosakan prasarana akibat banjir di Kelantan sejak bulan lepas sehingga kini berjumlah lebih RM30 juta.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata ia melebihi anggaran awal kerana banjir kali ini lebih besar berbanding tahun lepas.

"Sudah tentu banyak kemudahan asas terutama jalan kampung, longkang, taman bimbingan kanak-kanak dan dewan orang ramai mengalami kerosakan akibat banjir itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Guru dan Ibu Bapa (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan keperluan asas kepada 141 mangsa banjir di Bachok.

Ahmad Jazlan berkata semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di negeri ini juga perlu membuat bancian dan menyenaraikan segera kerosakan yang berlaku di kawasan masing-masing.

"Laporan mengenainya hendaklah diserahkan kepada pejabat kementerian itu di Kota Bharu (cawangan) untuk dinilai dan dilaksanakan pembaikan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata ketika menjalankan bancian itu, pengerusi JKKKP hendaklah mengetepikan kepentingan politik sebaliknya mengutamakan manfaat untuk seluruh rakyat.

"Saya tidak mahu adanya unsur politik dalam usaha untuk membantu rakyat yang sangat memerlukan bantuan," katanya.

Ahmad Jazlan berkata jika ada yang melanggar arahan itu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.

-- BERNAMA