SEGAMAT: Sebanyak 1,047 keluarga yang meliputi 3,961 orang terlibat dalam bencana banjir di daerah ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, kesemua mereka telah ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah Segamat.

Selain itu, Acryl Sani berkata, beliau turut diberi taklimat oleh Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Bahrin Mohd Noh tentang gerak kerja operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir, serta kekuatan agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi tersebut.

“Secara keseluruhannya terdapat enam agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia telah ditugaskan dalam Op Banjir di Segamat dengan kekuatan 377 anggota.

“Jumlah ini melibatkan 57 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 25 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 15 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 23 anggota Angkatan Relawatan Rakyat Malaysia (Rela), dan 10 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart),” katanya lagi.

Terdahulu, Acryl Sani berkata, beliau telah turun ke Segamat Bersama-sama dengan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) serta Pemangku Ketua Polis Johor untuk meninjau Op Banjir di daerah ini pada 4 Disember.

Beliau berkata, PDRM bersama agensi keselamatan lain akan dan sedang mengambil Tindakan segera di daerah Segamat, dan lain-lain lokasi banjir dalam Kontinjen Johor bagi memindahkan mangsa banjir ke tempat yang ditetapkan

“PDRM juga komited memastikan kebajikan masyarakat kekal terpelihara. Untuk itu saya telah arahkan Pengarah KDNKA Datuk Hazani Ghazali untuk menyelaraskan segala bentuk bantuan bagi penduduk yang terputus hubungan.

“Sebuah helikopter Pasukan Gerakan Udara juga akan digunakan bagi tujuan menghantar barang keperluan bagi penduduk di Segamat yang terputus hubungan ekoran jalan darat dinaiki air,” katanya lagi.

Acryl Sani berkata, bagi operasi pasca banjir pula, elemen Jabatan KDNKA seperti Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, PGU, dan Pasukan Simpanan Persekutuan akan digerakkan bagi menjalankan proses pembersihan infrastuktur awam, dan rumah-rumah ibadat di Segamat.