BIDOR: Seramai 17 mangsa, dua daripadanya wanita dari rumah perlindungan warga emas Rumah Sejahtera Bidor di Jalan Bruseh, Bidor terjejas akibat banjir kilat pada petang Rabu.

Mereka yang berumur antara 65 sehingga 93 tahun itu telah diselamatkan sembilan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Batang Padang selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pada jam 5.45 petang.

Kesemua mangsa telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Hwa, Bidor.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan ketika kejadian, air telah mula naik pada paras dada atau satu meter.

“Di sini kita tempatkan 17 orang penghuni rumah sejahtera iaitu rumah orang tua-tua yang mana bangunan tempat mereka telah pun ditenggelami air, sehingga paras dada.

“Jadi kita berterima kasih kepada APM dan pasukan yang telah berjaya untuk membawa mereka ke sini dengan selamatnya,  sebelum apa-apa perkara tak diingini berlaku kerana itu tempat orang tua-tua yang kurang upaya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat PPS SJKC Choong Hwa, Bidor pada malam Rabu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsuddin Abu Hassan serta ADUN Slim, Mohd Zaidi Aziz.

Selain itu, Saarani berkata, berdasarkan kepada laporan yang diterima, hampir keseluruhan daerah Muallim dan Batang Padang dilanda banjir akibat hujan yang berterusan siang tadi.

Sementara itu, difahamkan daripada 17 mangsa di rumah perlindungan berkenaan, salah seorang yang dikenali sebagai Lim Thin Seong, 75, tidak mampu untuk bangun kerana baharu sahaja menjalani pembedahan di kaki akibat kencing manis.

Ekoran itu, ketika kejadian, pasukan penyelamat terpaksa mengusung beliau keluar daripada rumah tersebut yang telah ditenggelami banjir.

Difahamkan juga keadaan banjir di situ semakin surut ekoran hujan yang mula berhenti malam tadi.