GURUN: Hujan tanpa henti sejak semalam mengakibatkan 54 keluarga di Taman Gurun Jaya dan Kampung Ibor dekat sini dilanda banjir kilat awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan, air memasuki rumah penduduk kira-kira jam 4.20 pagi.

“Sebaik menerima maklumat, dua pasukan terdiri daripada pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan Yan dikejarkan ke lokasi banjir.

"Ketika tiba di Taman Guru Jaya, air didapati telah masuk ke dalam rumah penduduk sedalam 0.3 hingga 0.9 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan pantas anggota bomba berjaya memindahkan mangsa ke kawasan selamat.

Foto JBPM Kedah

Seramai 10 orang mangsa terjejas di Taman Gurun Jaya, melibatkan empat lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak.

Sementara itu, 14 mangsa melibatkan tiga lelaki, empat wanita serta enam kanak-kanak, dari Kampung Ibor, dipindahkan sementara ke kawasan selamat.

Tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Foto JBPM Kedah