IPOH: Banjir kilat yang melanda kawasan Taman Fair Park sehingga menyebabkan 36 orang mangsa terkandas baru-baru ini adalah disebabkan kesilapan pihak kontraktor yang menutup 'water gate' (pintu air) di kawasan tersebut.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumazi Baharin berkata, projek untuk membesarkan Sungai Senam tersebut sememangnya dijalankan oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Projek itu memang kita laksana dengan KPKT untuk besarkan Sungai Senam di kawasan tersebut, tetapi ada sedikit kesilapan teknikal daripada pihak kontraktor dan jabatan berkaitan yang menutup pintu air itu.

"Jadi apabila hujan mengejut dan air pula tidak boleh masuk ke sungai sebab pintu ditutup, maka ia akan menendang semula air parit itu dan terjadilah banjir kilat.

"Projek untuk membesarkan Sungai Senam itu bermula pada Disember tahun lalu, sepatutnya siap hujung bulan Januari tetapi jangkaan pihak jurutera MBI mungkin siap Mac nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai punca banjir kilat di kawasan bandar raya Ipoh itu sehingga ramai yang merungut mengatakan ia berpunca daripada longkang tersumbat dan sebagainya.

Rumaizi ditemui pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Rumaizi yakin isu itu tidak akan berulang di kawasan terbabit memandangkan ia pertama kali berlaku disebabkan kesilapan tersebut.

Katanya lagi, peningkatan taburan hujan juga menjadi faktor mengapa air melimpah sehingga berlaku banjir di beberapa kawasan.

"Bila kita lihat bacaan tolok Jabatan Meteorologi, memang ada peningkatan hujan di kawasan Ipoh mencecah 20 peratus.
.
"Sebab itu antara jalan penyelesaiannya adalah dengan meluas dan melebarkan sungai di kawasan tersebut," katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan, banjir kilat yang melanda Taman Fair Park disebabkan hujan lebat hampir tiga jam menyebabkan seramai 36 mangsa terkandas.

Khidmat pasukan bomba turut diperlukan bagi melakukan operasi mengeluarkan mangsa dari kawasan tersebut ke lokasi selamat.

Banjir itu turut melimpah masuk ke dalam beberapa premis perniagaan termasuk kereta yang ditenggelami air sehingga paras pintu.