SEREMBAN: Kerugian melibatkan kerosakan infrastruktur akibat banjir kilat di beberapa daerah di Negeri Sembilan semalam dianggarkan berjumlah hampir RM1 juta, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ketika ini laporan penuh dan terperinci sedang diselaraskan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri bagi menilai jumlah sebenar kerosakan terbabit.

"Semalam kita menerima hujan lebat di luar jangka menyebabkan beberapa kawasan di Seremban, Port Dickson dan Rembau mengalami banjir kilat. Sebanyak 257 rumah terjejas.

"Perkara ini tak dapat elak, hujan dengan keamatan tinggi direkodkan iaitu antara 75 milimeter (mm) hingga 93 mm dalam tempoh dua jam," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.

Menurut Aminuddin jumlah kerosakan berkenaan merangkumi tebing dan tanah runtuh, namun banjir itu tidak seteruk berbanding 2021.

Beliau berkata bantuan pascabanjir seperti pembersihan rumah, penyerahan kit makanan dan bantuan asas sedang disalurkan kepada semua mangsa selain turut berbincang dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk bantuan kecemasan.

Menurut Aminuddin agensi keselamatan di negeri ini termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diminta bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan sejak sebulan lepas.

Setakat 4 petang tadi, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini iaitu Surau Kampung Nerambai, Lubok China, Rembau dan Balai Raya Permatang Pasir di Port Dickson dengan menempatkan 70 mangsa.

-- BERNAMA