Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Surau Kampung Tiak, Mukim Kupang, di sini, dengan menempatkan 18 mangsa dari lima buah keluarga.

Menurut Penghulu Mukim Kupang, Badrul Hisyam Che Li, kejadian banjir itu berikutan hujan lebat sejak pukul 6 petang pada Jumaat.

Keadaan itu telah menyebabkan paras air Sungai Kupang meningkat sehingga 1 meter, sekali gus memasuki kediaman penduduk yang berada di kawasan rendah.

"Antara kampung yang terjejas termasuk Kampung Teluk Kelubi membabitkan 20 buah rumah, Kampung Charok Kangar (12 rumah); Kampung Tiak (3 rumah) dan Kampung Kemangi lima buah rumah," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Sementara itu, seorang mangsa, Muhammad Afif Abdul Malik, 23 tahun, memberitahu, rata-rata penduduk di kawasan terlibat tidak sempat membuat persiapan awal memandangkan kejadian berlaku dengan pantas.

"Pukul 4.30 petang, sampai pukul 8, hujan turun dengan lebat. Dan dalam tempoh itu, beberapa buah kampung sudah terjejas teruk.

"Tambahan pula, jalan utama untuk keluar masuk ke kampung yang terjejas teruk juga terhalang berikutan air naik terlalu cepat," katanya.



Sementara itu, Pegawai Sekretiat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Leftenan Pertahanan Awam (PA), Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya bersama agensi-agensi lain sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Jelas beliau, pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling dalam memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemindahan dipatuhi, terutama melibatkan penjarakan sosial.

"Kami akan pastikan segala langkah yang diambil khususnya penjarakan sosial di pusat pemindahan dilakukan dan dilaksanakan mengikut SOP.

"Pihak kesihatan juga akan melakukan pemantauan khususnya bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19," ujarnya.