KUALA LUMPUR : Beberapa jalan utama di Kuala Lumpur yang dinaiki air kira-kira jam 4 petang tadi sudah boleh digunakan selepas banjir kilat surut sepenuhnya.

Tinjauan Astro AWANI di Jalan Tuanku Abdul Halim dan Jalan Travers mendapati laluan tersebut sudah dibuka dan tiada lagi banjir di dua kawasan tersebut.

Begitupun, masih kelihatan kesan-kesan banjir seperti lumpur dan sampah sarap di kedua-dua jalan berkenaan.

Kira-kira jam 4 petang tadi, ratusan kenderaan terperangkap di Jalan Tuanku Abdul Halim di kedua-dua arah selepas jalan itu dinaiki air.

BACA: Banjir kilat: 14 jalan di ibu negara dinaiki air - DBKL

Begitupun, banjir di laluan menghala ke Istana Negara surut kira-kira 15 minit kemudian dan kenderaan dibenarkan melalui jalan tersebut.

Namun, kenderaan di laluan menghala ke Jalan Parlimen dan Bangsar hanya dapat bergerak pada jam 4.48 petang, dipercayai terperangkap akibat banjir di Jalan Travers dan lokasi berhampiran.

Sementara itu, berdasarkan ciapan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pada jam 5 petang tadi, Jalan Maarof di Bangsar juga dilihat dinaiki air.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan beberapa jalan utama di ibu negara dilanda banjir kilat pada petang Isnin.

Ia susulan hujan lebat yang melanda Lembah Klang selama beberapa jam sejak awal tengah hari tadi.

Menurut laporan Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebanyak 14 laluan utama di ibu negara telah dinaiki air.