Banjir mula melanda kawasan perdagangan di bandar Pattani ekoran hujan lebat selama empat hari dan air dari bahagian utara Sungai Pattani yang melimpah.

Datuk Bandar Pattani, Pitak Kokiart Pitak berkata paras air setinggi kira-kira 2 meter direkodkan di beberapa kawasan kediaman dan pusat perdagangan bandar Pattani.

Katanya, kawasan bandar itu mula dinaiki air pada pukul 11 pagi tadi dan antara kawasan yang terlibat ialah di Jalan PipitPakdi, Jalan Kelapo, Jalan Saiburi, Jalan Yarang dan Jalan Santisuk.

Sejumlah 37,790 orang dari 10,098 keluarga dari 193 buah kampung terjejas akibat banjir yang dijangka berterusan buat beberapa ketika.

Beberapa batang jalan raya utama seperti Pattani-Hatyai dan Pattani-Yala ditutup kerana air melimpahi jalan raya.

Gabenor Wilayah Pattani, Wirapon Keawsuwang turun melawat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang tinggal di pendalaman terutamanya di Kampong Jemok, Mukim Pakaharang, Muang Pattani.

Beliau berkata lapan daerah di Pattani iaitu daerah Muang Pattani, Nongchi, Yarang, Yaring, Kapor, Saiburi Tungyang-daeng dan Maelan diisytihar sebagai kawasan bencana alam.