Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Banjir Nepal: Malaysia mohon cari hingga Rasuwagadhi namun kelulusan terhad - Wakil keluarga

PUTRAJAYA, 27 Sept - Wakil keluarga mangsa, Dr R. Manivannan ketika ditemui pengamal media selepas menghadiri sesi taklimat mengenai 55 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam kejadian banjir kilat glasier di Nepal di Wisma Putra hari ini. Ahli keluarga berkenaan selesai menghadiri pertemuan secara tertutup dengan wakil kerajaan bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai usaha pencarian, termasuk proses pengesahan dan pengenalpastian mangsa yang masih belum ditemukan selepas lebih sebulan kejadian itu b
Dr R. Manivannan ketika ditemui pengamal media selepas menghadiri sesi taklimat mengenai 55 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam kejadian banjir kilat glasier di Nepal di Wisma Putra hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia pada awalnya memohon supaya operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 55 rakyat negara ini yang masih belum dapat dihubungi di Nepal merangkumi kawasan Rasuwagadhi hingga Syabrubesi namun pasukan negara hanya dibenarkan menjalankan pencarian di kawasan tertentu.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) Dr Manivannan Rethinam berkata perkara itu dimaklumkan kepada waris pada pertemuan tertutup bersama-sama agensi kerajaan di Wisma Putra hari ini.

Beliau berkata keluarga membangkitkan persoalan mengapa operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) tidak tertumpu di Rasuwagadhi yang merupakan kawasan sempadan Nepal-Tibet dipercayai antara lokasi terakhir ramai rakyat Malaysia terbabit.

Manivannan berkata Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu Mohd Firdaus Azman menjelaskan Malaysia telah meminta pihak berkuasa Nepal supaya kawasan pencarian meliputi Rasuwagadhi hingga Syabrubesi namun pasukan Malaysia hanya dibenarkan meliputi kawasan tertentu termasuk Timure.

"Kawasan pencarian mereka (SMART) tertumpu di kawasan C dan D. Mereka (pencarian) meliputi Timure ke Syabrubesi. Itu bukan kawasan tumpuan ramai rakyat Malaysia yang hilang kerana kita mempunyai maklumat lokasi terakhir dan kebanyakannya tertumpu di kawasan Rasuwagadhi, di sempadan Tibet-Nepal," katanya kepada media selepas sesi taklimat yang berlangsung hampir empat jam di sini hari ini.

Manivannan berkata keluarga memahami bahawa kawasan operasi SMART tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa Nepal dan perkara itu berada di luar kawalan pasukan berkenaan.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada pasukan SMART yang memberikan penerangan kepada keluarga mengenai operasi serta cabaran dihadapi pasukan itu sepanjang berada di Nepal.

Manivannan berkata keluarga turut bertanyakan kemungkinan mangsa berpeluang ditemukan hidup dan Komander SMART Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa memaklumkan kemungkinan itu masih wujud sekiranya ada mangsa berada di kawasan atau perkampungan terpencil di pergunungan namun peluang berkenaan amat tipis.

Sebelum ini, pasukan SMART terdiri daripada 11 anggota yang dihantar ke Nepal pada 5 Sept menjalankan pencarian darat serta pemantauan menggunakan dron di kawasan diluluskan dan dianggap selamat oleh pihak berkuasa Nepal, sebelum kembali ke Malaysia pada 14 Sept lepas.

Beliau berkata keluarga turut dimaklumkan Nepal akan memproses sendiri sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada jasad mangsa bencana untuk dipadankan dengan profil DNA keluarga.

Manivannan berkata keluarga sebelum ini dimaklumkan mengenai laporan bahawa Nepal memerlukan bantuan bagi menjalankan proses DNA berikutan kekurangan kepakaran namun berdasarkan taklimat hari ini, Nepal kini mempunyai kepakaran mencukupi dan akan menjalankan sendiri proses berkenaan.

Beliau berkata secara asasnya, profil DNA yang diperoleh daripada keluarga akan digunakan untuk tujuan padanan dengan DNA daripada jasad yang ditemukan.

Sekiranya berlaku padanan DNA, beliau berkata berdasarkan penerangan yang diterima keluarga, DNA akan diambil daripada jasad sebelum pengebumian dan terdapat proses untuk memperoleh semula jasad itu bagi membolehkan keluarga menguruskan upacara atau membawa pulang.

Bagaimanapun, Manivannan berkata pihak keluarga belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai keseluruhan prosedur berkenaan.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement