PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan solat hajat berikutan bencana banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan hari ini berkata solat hajat itu akan diadakan di tiga masjid utama iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Beliau berkata, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan juga akan bekerjasama untuk mengadakan solat hajat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

"Saya berharap seluruh mangsa banjir dan ahli keluarga sentiasa tabah dan sabar dengan ujian ini. Semoga urusan seluruh anggota keselamatan, jentera barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak dipermudah Allah SWT jua," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, bacaan Yasin, solat hajat dan doa selamat di tiga masjid tersebut akan diadakan serentak esok selepas solat Maghrib.

Jakim turut menjemput dan mengesyorkan semua majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara untuk sama mengadakan program seumpamanya agar kesatuan usaha dan doa seluruh umat akan menambahkan lagi keberkatan doa, katanya. - BERNAMA