KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan dikendurkan dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Sebaliknya, tegas Hishammuddin, operasi akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

"Anggota ATM telah berada di lapangan selama 48 jam tanpa henti.

"Berganding bahu dan berkongsi kepakaran bersama petugas NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia serta semua agensi berkaitan demi memastikan operasi banjir berjalan lancar," katanya menerusi perkongsian di media sosial pada Ahad.



Berkongsi perkembangan operasi di Dengkil, beliau berkata, anggota dan aset dari 11 Briged telah berada di kawasan terjejas sejak semalam demi membawa keluar mangsa banjir yang terkandas.

"Sama-sama kita doakan, semoga operasi dipermudahkan dan banjir segera surut," katanya.



Sementara itu, di Kuantan, Markas Wilayah Laut 1 digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir di kawasan perkampungan Kampung Garuda Sri Damai, Batu 10 bermula awal pagi tadi.

"Tentera Laut Diraja Malaysia bersama agensi awam yang lain sentiasa bersiap sedia untuk diaturgerakkan pada bila-bila masa," katanya.