Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Masa untuk cantum semula perjuangan Reformasi - Tian Chua

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang berkata, keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merangkum semula pelbagai pihak turut memberi ruang kepada usaha gerakan Reformasi. - Foto Astro AWANI
Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang berkata, keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merangkum semula pelbagai pihak turut memberi ruang kepada usaha gerakan Reformasi. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Tian Chua menyatakan gerakan Reformasi dalam PKR kini berusaha untuk bersatu semula selepas melalui episod perpecahan yang mencabar parti.
  • Keterbukaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dilihat memberi ruang kepada bekas pemimpin dan anggota untuk kembali bersama parti.
  • Tian Chua kini membantu kempen calon PKR di Machap Jaya, menandakan komitmennya terhadap perjuangan Reformasi walaupun pernah dipecat daripada parti.
Advertisement

ALOR GAJAH: Pergolakan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pernah memuncak di Melaka tujuh tahun lalu kini menjadi sebahagian daripada sejarah yang mahu ditinggalkan dalam usaha menyatukan semula gerakan Reformasi.

Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua melihat adanya keinginan dalam kalangan kelompok Reformasi untuk kembali bersatu, selepas melalui episod perpecahan yang pernah menguji kekuatan parti itu.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang berkata, keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merangkum semula pelbagai pihak turut memberi ruang kepada usaha berkenaan.

Advertisement

"Saya rasa (peristiwa) perpecahan tersebut adalah satu perkara yang malang dan ia sudah berlalu. Saya nampak seluruh pergerakan reformis ada niat untuk mencantum semula.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR juga menunjukkan keikhlasan untuk merangkumi semua. Ini adalah satu masa titik permulaan baru bagi perjuangan Reformasi. 

Advertisement

"Biarlah kita kumpul balik tenaga dan pastikan apa yang kita capai ini dapat dipertahankan," demikian katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Deepavali di Kampung Permai, Machap Umboo, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Kongres Nasional PKR pada Disember 2019 menyaksikan pertembungan terbuka antara kelompok yang menyokong Anwar dengan kem bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketegangan ketika itu menyaksikan sekumpulan perwakilan meninggalkan dewan kongres, manakala Tian Chua sendiri menerima ejekan ketika mempertahankan sumbangan Azmin kepada parti.

Anwar yang ketika itu Presiden PKR terpaksa campur tangan bagi meredakan keadaan.

Pergolakan berkenaan menjadi antara episod penting dalam sejarah PKR sebelum parti itu berdepan perpecahan lebih besar susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Bagi Tian Chua, pengalaman lalu tidak mengubah pendiriannya terhadap perjuangan Reformasi, termasuk ketika beliau tidak lagi menjadi ahli PKR.

Beliau menyifatkan keadaan sekarang sebagai titik permulaan baharu untuk mengumpulkan kembali tenaga gerakan berkenaan.

"Saya tetap menganggap bahawa PKR adalah wahana, adalah saluran yang terbaik untuk mewakili impian dan cita-cita Reformasi," katanya lagi.

Pada Ogos lalu, Tian Chua menyatakan kesediaan untuk kembali menyertai PKR selepas Anwar membuka ruang kepada bekas pemimpin dan anggota parti yang pernah membawa haluan berbeza.

Beliau sebelum itu dipecat daripada PKR pada Januari 2023 susulan tindakannya bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tindakan itu menyaksikan beliau berdepan calon Pakatan Harapan (PH), P. Prabakaran yang dipilih PKR untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Tian Chua kini turun membantu kempen calon PKR, Ginie Lim di Machap Jaya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Menurutnya, Machap mempunyai hubungan sentimental dengan keluarganya yang berasal daripada komuniti Hakka di kawasan berkenaan.

Beliau juga pernah bertanding di Parlimen Selandar pada 1999, sekali gus menjadikan Melaka antara lokasi awal perjalanan politiknya bersama gerakan Reformasi.

Tian Chua turut melihat kehadiran Anwar di Machap Jaya pada malam ini sebagai tanda kepentingan kawasan itu kepada PKR, khususnya dalam mendekati masyarakat pelbagai kaum.

Gerakan Reformasi tercetus pada 1998 susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, dengan tuntutan keadilan, demokrasi dan pembaharuan institusi.

 

Must Watch Video

Advertisement