MUALLIM: Seramai 50 penduduk daripada 20 keluarga di Taman Permai Slim River, di sini, dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Slim River awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, ia berikutan banjir yang berlaku di kawasan berkenaan susulan hujan lebat berterusan pada Selasa.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.30 pagi sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River ke lokasi.

"Terdapat kes banjir di kawasan perumahan berkenaan dan membabitkan pemindahan ke PPS.

"Kesemua mereka yang terbabit dipindahkan ke PPS dengan menaiki lori 3 tan serta kenderaan utiliti. Selain itu kebanyakan mangsa berpindah sendiri.

"Operasi pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang risiko susulan banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi yang diketuai PPgB Ahmad Nazirulmubin Narodi itu tamat pada jam 3.07 pagi.