KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi peringatan kepada semua anggota Kabinet bahawa masing-masing mempunyai peranan dalam menghadapi krisis yang melanda negara ketika ini.

Perdana Menteri dalam kemas kini di laman Facebook berkata, beliau akan memastikan semua pihak memikul tanggungjawab sebaik-baiknya bagi memastikan urusan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara berjalan lancar.

"Berikutan bencana banjir negara, saya akan pastikan setiap pihak menggalas tugas sebaiknya dalam melancarkan urusan pemberian bantuan-bantuan kerajaan. Segala bantuan yang telah diumumkan mesti disegerakan," katanya dalam kenyataan tersebut, pada Rabu.

Jelas Ismail Sabri, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pertama pada 2022 yang dipengerusikan oleh beliau pagi tadi.


Perdana Menteri menambah, beliau percaya dan yakin dengan tumpuan dan dedikasi daripada semua, cabaran yang dihadapi negara dapat dilalui dengan tenang sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, berkata selain isu pengurusan banjir dan pascabanjir, mesyuarat Kabinet turut memberi penekanan terhadap isu penangguhan ibadah umrah bagi jemaah Malaysia, atas sebab penularan varian Omicron di Tanah Suci.

Terdahulu, dalam perutusan khas sempena tahun baharu 2022, Perdana Menteri mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia melibatkan pemberian tunai kepada mangsa banjir yang boleh mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR).