KUALA LUMPUR: Kejadian banjir yang berlaku di Baling pada Isnin lepas hampir sama dengan insiden di Gunung Jerai pada Ogos 2021 dan Sungai Telemong serta Sungai Lui pada Disember 2021.

Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, fenomena tersebut dilabel sebagai banjir puing atau banjir yang membawa bersama kayu-kayan.

Menurut beliau, biasanya terdapat tiga jenis banjir di Malaysia iaitu banjir monsun, banjir lumpur dan banjir puing yang mana banjir monsun dan lumpur biasanya tidak mendatangkan kerosakan yang sangat besar.

BACA: Banjir Baling: KDN gerakkan agensi bagi koordinasi bantuan

BACA: Banjir Baling: Jumlah mangsa menurun

Begitupun, jelasnya, banjir puing biasanya akan menyebabkan banyak kerosakan kerana ia bukan hanya membawa lumpur tetapi juga serpihan kayu yang ada di antaranya bersaiz besar.

“Kalau diperhatikan, kandungan puing, kayu-kayan dan bongkah kayu, lumpur yang sangat tinggi berlaku (di Baling).

“Banjir puing, seperti yang berlaku beberapa kali pada tahun lepas dan tahun ini, ia berpunca daripada kejadian tanah runtuh yang besar di puncak gunung, disusuli aliran puing kayu termasuk bongkah besar.

Banjir Baling | Tiga sekeluarga serta janin selamat dikebumikan

“Ada kalanya puing ini membentuk satu takungan sementara, jadi empangan sementara dan apabila pecah serta-merta, itu yang menyebabkan bencana besar,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI pada Rabu.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan jumlah mangsa banjir di Baling pada pagi Rabu berkurangan kepada 495 mangsa daripada 109 keluarga berbanding pada 1,424 mangsa daripada 93 keluarga pada 8 malam Selasa.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, sebanyak 159 mangsa daripada 50 keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai.

Katanya, setakat jam 8 pagi, mereka yang ditempatkan di PPS itu terdiri daripada 39 lelaki dewasa, 49 wanita dewasa, kanak-kanak lelaki (25), kanak-kanak perempuan (22), warga emas perempuan (16) dan warga emas lelaki (14).

Banjir | Memahami punca tragedi di Baling